Mahathir dijangka jadi penutup ceramah himpunan anti kerajaan petang ini
Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka muncul sebagai penutup ceramah himpunan anti kerajaan di Dataran Merdeka pada pukul 5 petang ini.
Perkara itu tercatat dalam aturcara yang dikongsikan pemimpin Perikatan Nasional (PN), Isham Jalil.

Selain Mahathir, slot ceramah yang bermula jam 3 petang itu dijadual menampilkan 17 lagi pemimpin parti komponen PN, bekas pemimpin PKR dan aktivis pro pembangkang.
Antaranya, Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau; bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua serta ‘penunggang’ isu Kampung Baru, Rafidah Ibrahim.
Walau bagaimanapun, Tian Chua yang juga bekas Ahli Parlimen Batu selama dua penggal berturut-turut itu dilaporkan tidak akan menghadiri perhimpunan pembangang hari ini.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Abdul Samad menyifatkan himpunan anjuran Pemuda PN tersebut hanya sebagai persiapan awal untuk Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) yang dijangka dalam setahun lebih lagi.
“Dia (pembangkang) nak wujudkan satu persepsi bahawa rakyat sudah tak suka Datuk Seri Anwar Ibrahim, orang dah mendesak suruh letak jawatan,” kata beliau.
Menerusi Bicara Haji Khalid Samad (Siri 264) di Jom Channel malam tadi, bekas Ahli Parlimen Shah Alam itu berpendapat himpunan itu tidak jelas dari segi matlamat dengan wujudnya percanggahan pendirian dalam kalangan pimpinan pembangkang sendiri.
“Apa yang sebenarnya kamu (pembangkang) mahu? Sesama dia pun tak jelas, bercanggah.
“Haji Hadi kata tak payah turun, tunggu pilihan raya. Ada pula kata bukan mahu jatuhkan kerajaan tapi turunkan Anwar saja, kerajaan boleh kekal. Mudah sangat cara pemikiran dia,” tempelak Khalid lagi.
BACA JUGA Himpunan hanya persiapan awal PRU-16, mahu rakyat ada persepsi tak suka PM Anwar