“Dari Shah Alam ke York” Anak MARA lakar sejarah, Umar Zulkefli sampaikan ucapan Graduasi di UK
l

FOTO BERITA: Dalam suasana penuh gilang-gemilang sempena Majlis Graduasi University of York, seorang anak Malaysia, Umar Zulkefli, tampil menyampaikan ucapan mewakili para graduan dan menzahirkan penghargaan khusus kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) atas sokongan berterusan sepanjang pengajiannya di peringkat sarjana muda.

Umar, penerima Ijazah Sarjana Muda Sains (BSc) dalam bidang Ekonomi, merupakan pelajar tajaan MARA yang juga alumni Kolej MARA Seremban dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Kubu Bharu

“Saya berdiri di sini hari ini bukan sahaja atas usaha dan doa, tetapi kerana sokongan institusi seperti MARA yang sentiasa membuka ruang untuk anak bangsa mengejar kecemerlangan di peringkat global. Terima kasih kerana mempercayai dan membimbing saya serta ramai lagi anak muda Malaysia,” katanya

Beliau turut menyentuh kepentingan peluang pendidikan berkualiti serta peranan agensi seperti MARA dalam memperkasa mobiliti sosial pelajar Bumiputera melalui pendidikan bertaraf antarabangsa.

Bersama Professor Charlie Jeffery, Vice-Chancellor and President, University Of York, UK (Gambar). Umar memulakan perjalanan pendidikannya di Sekolah Kebangsaan Seksyen Enam, Shah Alam, sebelum meneruskan ke Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Taman Rashna, Klang – satu laluan unik yang membentuk jati dirinya dalam suasana pelbagai budaya dan bahasa.

Bersama Professor Michael Thornton, Head of Department, Economics & Related Studies Department dan Professor Andrew Pickering, Deputy Head of Department Teaching (Gambar kanan sekali). Beliau kemudiannya menyambung pengajian menengah di MRSM Kuala Kubu Bharu, diikuti pengajian pra-universiti di Kolej MARA Seremban sebelum berjaya melanjutkan pengajian ke University of York, salah satu universiti terkemuka di United Kingdom.

Seterusnya ke Khazanah Nasional, dengan latar akademik cemerlang dan semangat patriotisme yang tinggi, Umar Zulkefli kini bersedia untuk menyumbang kembali kepada negara. Beliau dijadualkan memulakan kerjaya di Khazanah Nasional Berhad sebagai Investment Graduate bermula 1 Oktober 2025.

Kisah kejayaan Umar menjadi bukti bahawa usaha, disertai sokongan institusi pendidikan dan amanah rakyat seperti MARA, mampu melahirkan generasi muda yang berdaya saing di peringkat antarabangsa dan bersedia menggalas tanggungjawab membina masa depan Malaysia
