Selamat pulang, semoga perjalanan dilindungi, kata PMX kepada pendemo

Perdana Menteri mendoakan keselamatan perjalanan kepada ribuan peserta himpunan pembangkang yang pulang ke destinasi masing-masing.

“Kepada saudara saudari yang hadir — sama ada yang menyuarakan pandangan, menyatakan solidariti, mahupun yang datang dari jauh — saya ucapkan selamat berpulang ke destinasi masing-masing.

“Semoga perjalanan kalian dipermudah dan dilindungi,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.

Antara peserta yang difahamkan sesak nafas semasa perhimpunan pembangkang hari ini.

Beliau turut mengalu-alukan kedatangan orang ramai ke Kuala Lumpur jika mereka berkesempatan lagi bertandang di ibu negara pada masa hadapan.

“Mercu-mercu tanda bersejarah di sekitar ibu kota, termasuk Bangunan Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka, kini sedang dalam rencana pemuliharaan secara besar-besaran agar kita dapat tingkatkan pelancongan dan mendukung ekonomi di sekitar ibu kota yang sarat nilai sejarah, harapan dan semangat nasional, terutamanya bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 kelak dan pelbagai aktiviti menarik menanti, Insya-Allah,” katanya.

Dalam masa sama, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga merakamkan penghargaan kepada semua petugas pasukan keselamatan sama ada polis, bomba, pasukan perubatan dan sukarelawan.

Beliau menyifatkan mereka telah bertugas dengan ketangkasan, disiplin dan dedikasi yang tinggi bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam serta memastikan kelancaran acara himpunan yang berlangsung siang tadi.

Justeru, jelasnya, sebagai Perdana Menteri, beliau kekal dan konsisten berpegang pada prinsip yang demokratik iaitu kebebasan bersuara dan menyatakan kritikan.

“Kritikan dan perbedaan pandangan tidak seharusnya dilihat dari lensa permusuhan, malah ia harus terus bercambah dan subur mekar menjadi denyut nadi negara bangsa yang matang, progresif dan berdaulat.

“Yang penting, ia harus berjalan dengan tertib, aman dan dalam semangat cintakan tanah air,” kata PMX lagi.

Sementara itu, polis menganggarkan seramai 18,000 peserta hadir dalam himpunan anjuran pembangkang yang ditunjangi Pas itu.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, dilapor berkata, himpunan tersebut berlangsung tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

BACA JUGA Punyalah penat Pas kempen Turun Anwar, tiba-tiba Hamzah yang jadi bakal PM