Pengumuman PM strategi galak perbelanjaan, pacu ekonomi lebih rancak – Pakar

Pakar menjangkakan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung inisiatif bantuan RM100 serta penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter bakal memberi kesan positif kepada ekonomi melalui peningkatan kuasa membeli rakyat.

Pensyarah Jabatan Perakaunan dan Kewangan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mohd Effandi Yusoff, berkata, apabila perbelanjaan rakyat meningkat ia sekali gus akan menggerakkan aktiviti ekonomi dengan lebih aktif.

“Jika mengikut asas ekonomi, ini merupakan satu inisiatif yang bertujuan untuk menggalakkan lagi pergerakan tunai dalam pasaran.

“Apabila rakyat dapat bantuan dalam bentuk wang, maka akan berlakunya pembelian dan penjualan barangan. Daripada aktiviti jualan dan belian itu, akan memangkinkan ekonomi.

“Ditambah pula dengan penurunan harga RON95 ini, ia akan memberi impak kepada kuasa membeli,” katanya ketika dihubungi.

Namun begitu, beliau menzahirkan kebimbangan sekiranya penurunan harga minyak dan pemberian tunai itu menyebabkan berlakunya kenaikan harga barangan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Cuma yang kita perlu lihat dan khuatir apabila barangan atau harga minyak diturunkan, kita perlu pastikan bahawa barangan sedia ada tidak dinaikkan. Terutamanya apabila dapat perbelanjaan sebanyak RM100 ini.

“Kalau benda ini tak dapat dikawal, maka ia tidak akan memberi impak yang besar kepada kuasa pembelian itu,” ujarnya.

Dr Effandi menyifatkan pemberian tunai dan subsidi bersasar seperti ini tetap membawa impak kepada ekonomi negara, terutama dalam meningkatkan aktiviti pasaran.

“Kita difahamkan RM100 ini diberi kepada semua lapisan tidak kira siapa mereka. Saya nampak itu adalah satu langkah yang baik untuk kita pacukan ekonomi negara supaya pembelian dan jualan di pasaran berlaku dengan lebih aktif lagi,” ujarnya.

Terdahulu Perdana Menteri mengumumkan sekurang-kurangnya lima insentif untuk rakyat yang antara disebut-sebut ramai adalah pemberian tunai sekali bayar sebanyak RM100, cuti umum seluruh negara pada 15 September ini serta penurunan harga petrol RON95.

Perancangan penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter menerusi mekanisme subsidi bersasar paling disambut baik ramai.

BACA JUGA Selamat pulang, semoga perjalanan dilindungi, kata PMX kepada pendemo