Pekerja pembersihan kutip 20 tan sampah sampai pagi buta selepas himpunan
Kira-kira 20 tan sampah ditinggalkan peserta Himpunan Turun Anwar di ibu negara semalam, menyebabkan pekerja pembersihan terpaksa melakukan kerja-kerja pembersihan sehingga pagi buta.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan pekerja pembersihan terpaksa bekerja sehingga jam 3 pagi bagi membersihkan beberapa lokasi yang terlibat dengan penganjuran himpunan berkenaan.
“Saya tidak berkompromi dalam soal kebersihan, tambahan pula kawasan himpunan yang terlibat adalah kawasan tumpuan pelancong.
“Kita tidak mahu imej negara tercemar akibat pembuangan sampah yang tidak bertanggungjawab,” katanya kepada media selepas merasmikan Taman Rekreasi MADANI Canning Garden hari ini.
Semalam, polis menganggarkan seramai 18,000 orang menyertai perhimpunan tersebut yang diadakan di Dataran Merdeka.
Sementara itu Kor Ming yang juga Timbalan Pengerusi DAP melahirkan rasa kesal terhadap sikap segelintir peserta perhimpunan pembangkang yang membuang sampah merata-rata di lokasi terbabit.
“Sampah-sarap yang ditinggalkan telah berjaya kita bersihkan, namun sebenarnya ia adalah tanggungjawab penganjur untuk pastikan lokasi perhimpunan itu bersih.
“Kita mahu perhimpunan itu bukan sahaja aman, malah ia tertib termasuk dalam soal penjagaan kebersihan awam. Ini adalah prinsip yang wajib didukung bersama,” ujarnya.
BACA JUGA Demokrasi era MADANI hormati kebebasan bersuara, hak berhimpun secara aman