Terkini Thailand, Kemboja setuju Malaysia jadi orang ‘tengah’ selesai konflik sempadan
Malaysia telah dipilih untuk menjadi ‘orang tengah’ dalam membantu menyelesaikan konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, kedua-dua negara bersetuju Malaysia menjadi perantara untuk mereka, dan mempunyai keyakinan tinggi terhadap negara ini untuk menjalankan peranannya sebagai orang tengah.
Katanya, Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai dijangka ke Malaysia, petang esok bagi membincangkan penyelesaian konflik berkenaan.
“Saya sempat berbincang dengan Menteri Luar Thailand dan Kemboja. Kedua-dua mereka menyatakan persetujuan bahawa tidak ada negara lain yang sepatutnya terlibat dalam isu ini.
“Mereka mempunyai keyakinan penuh terhadap Malaysia dan meminta saya menjadi mediator.
“Saya juga sedang menunggu panggilan telefon daripada Setiausaha Negara Amerika Syarikat (Marco Rubio) kerana mereka ingin mengetahui bagaimana AS boleh membantu.
“Namun, saya berpandangan bahawa lebih baik Malaysia menjadi mediator terlebih dahulu kerana ini urusan dalaman ASEAN, dan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN harus memainkan peranan itu,” katanya menurut laporan Bernama hari ini.
Sementaea itu Mohamad berkata, Malaysia berpandangan tindakan segera yang perlu dilaksanakan ialah gencatan senjata bagi meredakan ketegangan, supaya rakyat mereka di sempadan dapat meneruskan kehidupan seharian.
Bagi penyelesaian menyeluruh antara kedua-dua negara itu, beliau mengulangi cadangan Malaysia agar perkara itu dirunding melalui mekanisme sedia ada iaitu Jawatankuasa Am Sempadan Thailand-Kemboja (GBC).
BACA JUGA Catatan penjawat awam tentang PMX, ‘kami nampak siapa buat kerja, siapa adu domba’