Manipulasi persepsi: Bila kajian, media, kepentingan politik bercantum

OLEH IKHMAL ISKANDAR

Satu laporan yang disiarkan oleh Sinar Harian berkaitan kebimbangan rakyat terhadap kos sara hidup telah mencetuskan perhatian ramai pihak.

Laporan tersebut ditulis berdasarkan satu “kajian” oleh Institut Masa Depan Malaysia (MASA) – sebuah badan yang pada zahirnya tampil sebagai organisasi penyelidikan, namun apabila diteliti ia sarat dengan kepentingan politik.

MASA bukanlah institut bebas.

Ia diasaskan oleh dua figura utama yang sinonim dengan kerajaan terdahulu iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad serta dipimpin oleh barisan tokoh yang jelas mempunyai hubungan rapat dengan kepimpinan Perikatan Nasional (PN).

Nama-nama seperti Datuk Dr Marzuki Mohamad, Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Seri Mohd Nardin Awang bukan asing dalam struktur kuasa PN.

Maka, apabila satu “kajian” yang berasal daripada entiti politik seperti ini pastinya mengangkat naratif yang selari dengan agenda pembangkang dan ia bukanlah suatu kebetulan. Ia adalah strategi.

Lebih membimbangkan apabila terdapat media arus perdana menyiarkan hasil kajian tersebut tanpa menjelaskan secara jelas latar belakang badan yang menjalankannya.

Tiada penafian terhadap konflik kepentingan, tiada peringatan kepada pembaca bahawa ‘kajian’ ini bukan daripada sumber yang bebas.

Apakah ini sekadar kegagalan editorial atau sebahagian daripada realiti senyap dalam industri – di mana berita ditentukan oleh siapa yang membayar?

Dalam dunia kewartawanan moden, konsep media buying bukanlah asing.

Namun apabila ia melibatkan kandungan berbentuk “kajian”, disadur sebagai “laporan berita”,dan disebar tanpa ketelusan, maka ia bukan lagi soal komersial tetapi sudah menjadi isu etika dan integriti.

Kajian yang bersifat akademik perlu bebas daripada pengaruh politik.

Media pula perlu memelihara integriti dengan memastikan setiap maklumat yang disiarkan tidak menjadi alat membentuk persepsi secara terancang dan berpihak.

Apabila institusi penyelidikan, media dan politik berpadu dalam satu naratif – yang menjadi mangsa ialah rakyat dan yang tergadai ialah kebenaran.