MP Pendang bikin kecoh, tuduh menteri tipu isu sampah 20 tan
Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berhubung isu 20 metrik tan sampah yang didakwa ditinggalkan peserta Himpunan Turun Anwar Sabtu lalu.
Wakil rakyat pembangkang itu berkata, menteri berbohong mengenai angka 20 tan.
Beberapa wakil blok pembangkang juga bertikam lidah dengan Nga Kor Ming kerana tidak bersetuju dengan kenyataan dibuat itu.
Bagaimanapun Kor Ming ketika menjawab soalan dibangkitkan Awang, menjelaskan jumlah sampah yang disebut itu bukan datang daripada beliau, sebaliknya berdasarkan laporan SWCorp.
“Sebagai kerajaan MADANI, kami mengalu-alukan perhimpunan aman tetapi ia wajib dijalankan secara aman dan tertib termasuk menjaga kebersihan. Yang saya tegur itu adalah sikap pengotor. Siapa makan cili dialah rasa pedasnya,” katanya.
Dakwaan itu kemudian dibangkang Awang yang berkata ia tidak betul.
“Tapi Yang Berhormat, 20 tan itu tak betul. Sangat tak betul”.
Mempertahankan dakwaannya, Kor Ming berkata beliau menerima laporan jumlah sampah daripada SWCorp yang terpaksa mengerahkan ratusan pekerja pembersihan di tiga lokasi iaitu Sogo, Jalan Petaling dan Dataran Merdeka.
“Yang dikatakan sampah 20 tan itu bukan dari saya, itu adalah laporan daripada SWCorp yang saya terima di lapangan sehingga ratusan pekerja kita dikerahkan untuk membersihkan sampah selepas perhimpunan baju hitam.
“Saya tidak nafi ada sekumpulan anggota unit amal yang membantu membersihkan sampah. Saya ucap terima kasih. Tetapi tidak boleh dinafikan juga 20 metrik tan sampah bersepah di Sogo, di Dataran Merdeka, dan di Jalan Petaling. Itu adalah laporan SWCorp,” ujarnya.
Pembangkang yang masih tidak mahu menerima penjelasan Kor Ming terus bangkit mencelah, memaksa Timbalan Speaker, Alice Lau masuk campur menasihatkan Ahli Parlimen Pendang itu duduk.
Melihatkan keadaan itu, Kor Ming ketika membalas kembali, mengingatkan Ahli Parlimen pembangkang supaya tidak mempersoalkan apa-apa perkara sekiranya enggan menerima jawapan diberikan.
BACA JUGA Bagaimana pembangkang memberi kemenangan demokrasi kepada PMX?