Polis sahkan sedang siasat aksi sebat patung mirip PM

Polis mengesahkan sedang menyiasat tindakan peserta Himpunan Turun Anwar yang membawa dan menyebat patung mirip Perdana Menteri dalam satu himpunan Sabtu lalu.

Menurut Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, pihaknya menerima empat laporan berhubung himpunan itu dan salah satu daripadanya adalah berkaitan aksi menyebat patung di kawasan Masjid Negara.

Jelasnya, siasatan menyeluruh berhubung kejadian itu sedang dijalankan terutamanya terhadap individu yang dikenal pasti terbabit, termasuk peserta yang hadir dalam perhimpunan berkenaan, lapor Berita Harian.

“Kes itu sedang disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini seperti dilapor.

Tiga lagi laporan polis diterima berhubung penggunaan dron ketika perhimpunan itu sudah dirujuk kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk tindakan lanjut.

Mengenai penggunaan dron, Mohamed Usuf berkata, pihaknya tidak membenarkan dron berlegar di kawasan orang ramai kerana bimbang ia disalah guna untuk tujuan sabotaj atau mengambil gambar tanpa kebenaran.

Beliau berkata walaupun perhimpunan berkenaan dibenarkan oleh undang-undang, polis akan tetap menjalankan siasatan jika terdapat sebarang salah laku dilakukan oleh peserta perhimpunan.

BACA JUGA MP Pendang bikin kecoh, tuduh menteri tipu isu sampah 20 tan