Aminolhuda kecam tindakan sebat patung PM, sifatkan sebagai politik kebencian melampau
Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan menyifatkan tindakan menyebat patung menyerupai Perdana Menteri ketika himpunan “Turun Anwar” sebagai satu bentuk politik kebencian yang melampaui batas adab dan nilai Islam.
Beliau berkata, dalam Islam, membina patung manusia adalah perkara yang ditegah apatah lagi jika patung tersebut dijadikan objek penghinaan seperti disebat, dipukul dan dicaci secara terbuka.
“Perbuatan ini bukan sahaja melampaui batas adab ketimuran dan nilai Islam, malah mencerminkan kemerosotan moral dalam budaya politik tanah air.
“Ini adalah bentuk penghinaan simbolik yang bersifat kejam dan bertujuan menanam kebencian dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aminolhuda turut menegaskan bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri telah memberi ruang demokrasi seluas-luasnya termasuk membenarkan perhimpunan aman terhadap dirinya sendiri.
Namun, beliau kesal apabila ruang itu disalahgunakan pihak pembangkang untuk menghasut rakyat melalui aksi yang disifatkan sebagai tidak bertamadun.
Beliau mempertikaikan asas penghinaan terhadap Perdana Menteri Ke-10 yang menurutnya tidak pernah terlibat dalam skandal berdarah mahupun skandal kewangan besar negara seperti yang berlaku pada era terdahulu.
“Apakah dosa Perdana Menteri Ke-10 sehingga dihina sebegitu rupa? Apakah beliau terlibat dalam tragedi berdarah seperti peristiwa Memali?
“Apakah beliau mencuri dana negara seperti kehilangan RM2.5 bilion di BMF Hong Kong pada era lampau? Jelas sekali, perbandingan ini jauh tersasar dan tidak berasas.
“Teguran kepada pemimpin adalah hak rakyat. Namun ia mesti disampaikan dengan adab, berteraskan fakta dan niat yang jujur. Bukan melalui simbol kebencian yang boleh menyemai permusuhan dan mendorong tindakan melanggar undang-undang,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu beliau menyatakan sokonganterhadap kepimpinan Anwar dan menolak sekeras-kerasnya budaya politik tidak bermoral.
BACA JUGA Surat terbuka buat Kak Pidah, saya tulis bukan sebab benci tapi…