Karikatur binatang cemar imej negara & pemimpin ASEAN tidak bertanggungjawab terhadap usaha diplomatik

FOTO BERIT: Sidang Media & Laporan Polis isu karikatur Ketua Penerangan PAS Pusat merangkap Ahli Parlimen Pasir Mas YB Fadhli Shaari oleh YB Tn Hj. Mohd Sany Hamzan). Turut hadir Ketua Whip Amanah, YB Tuan Haji Aminolhuda Hassan Ahli Parlimen Sri Gading dan YB Mohammed Taufiq Johari Ahli Parlimen Sungai Petani di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. 29hb Jun 2024 (Selasa)

KUALA LUMPUR, 29 Julai 2025 (Selasa) – Ahli Parlimen Hulu Langat, YB Haji Mohd Sany Hamzan hari ini mengecam keras kenyataan tular oleh YB Ahmad Fadhli Shaari, Ahli Parlimen Pasir Mas merangkap Ketua Penerangan PAS, yang didakwa menghina pemimpin negara dan jiran serantau melalui satu hantaran di media sosial.

Menurut YB Sany, kenyataan tersebut menyamakan pemimpin negara dengan “monyet mendapat bunga”, dan turut menggunakan simbol binatang seperti kambing dan biri-biri yang dipercayai merujuk kepada negara jiran seperti Thailand dan Kemboja. Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai biadab dan tidak beradab, lebih-lebih lagi dalam konteks Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini. “Ini adalah satu penghinaan terbuka terhadap pemimpin negara yang sedang berusaha menyelesaikan konflik serantau secara diplomatik. Ia juga merupakan serangan tidak bermaruah terhadap negara jiran ASEAN dan mencemarkan nama baik Malaysia di peringkat antarabangsa,” tegasnya selepas membuat laporan polis.

YB Sany turut menekankan bahawa dalam keadaan rantau ini berdepan ketegangan geopolitik, adalah penting untuk semua pihak, termasuk pembangkang, mengekalkan perpaduan dan bertindak dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan negara. “Politik kebencian yang melampau hanya akan merosakkan imej Malaysia di mata dunia. Berbeza pandangan politik itu biasa, tetapi dalam soal kedaulatan dan keharmonian serantau, kita perlu bersatu.” tambah beliau

Beliau juga mempersoalkan tindakan YB Pasir Mas yang sebagai wakil rakyat dari negeri Kelantan – yang berkongsi sempadan dengan Thailand – sepatutnya lebih peka terhadap pentingnya menjaga hubungan diplomatik dengan negara jiran. YB Sany menggesa pihak berkuasa agar menyiasat kenyataan dan hantaran media sosial YB Ahmad Fadhli yang didakwa mengandungi unsur penghinaan dan berpotensi menghasut, serta mendesak agar wakil rakyat berhati-hati dalam tutur kata, khususnya apabila menyentuh hal ehwal antarabangsa. “Wakil rakyat perlu tahu batas dan tanggungjawab mereka. Kata-kata yang sembrono boleh membawa kesan besar terhadap reputasi dan hubungan diplomatik negara,” katanya lagi.

Menurut YB Aminolhuda, tindakan tersebut bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah memperlekehkan usaha baik Perdana Menteri dalam menangani konflik diplomatik di rantau ASEAN.. “Karikatur tersebut memperlihatkan niat jahat dan sindiran keterlaluan terhadap Perdana Menteri dan negara jiran seperti Thailand dan Kemboja, sekali gus mencemarkan imej negara yang kini mempengerusikan ASEAN,” katanya dalam sidang media.

Beliau menegaskan bahawa sebagai Ahli Parlimen, YB Fadhli sewajarnya menunjukkan kematangan politik dan menghormati usaha Perdana Menteri yang telah menerima pengiktirafan antarabangsa atas pendekatan damainya dalam meredakan ketegangan serantau. “Kita tidak menafikan hak bersuara, tetapi kebebasan bersuara tidak bermakna bebas menghina. Tindakan ini boleh mencetuskan ketegangan dan menjejaskan hubungan diplomatik negara,” tambahnya lagi.. YB Aminolhuda menyeru pihak berkuasa agar menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kenyataan serta kandungan karikatur yang disifatkan berunsur hasutan, penghinaan dan fitnah terhadap institusi kepimpinan negara. EBeliau turut menggesa semua wakil rakyat, terutama dari blok pembangkang, agar menjaga adab dan profesionalisme dalam menyampaikan pandangan politik tanpa merosakkan maruah negara di mata dunia.

Bagi Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), YB Dr. Taufiq Johari, menyelar tindakan Ahli Parlimen Pasir Mas, YB Ahmad Fadhli Shaari yang didakwa memuat naik satu karikatur menghina Perdana Menteri Malaysia dan pemimpin negara jiran di media sosial, baru-baru ini. Karikatur berkenaan yang disifatkan sebagai bersifat kebudak-budakan dan tidak beretika, dipercayai merujuk kepada usaha diplomatik YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja, susulan konflik sempadan yang berlaku sejak beberapa minggu lalu.

Menurut YB Dr. Taufiq, tindakan YB Pasir Mas bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah secara terang-terangan mencemarkan imej negara ketika Malaysia sedang dipuji oleh masyarakat antarabangsa kerana memainkan peranan sebagai pendamai yang berwibawa di peringkat ASEAN. “Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada YAB Perdana Menteri atas kejayaan menyampaikan mesej damai di peringkat ASEAN. Tetapi dalam masa yang sama, saya amat kesal dengan tindakan YB Pasir Mas yang memilih untuk memperlekeh usaha ini dengan menyebar karikatur menghina,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Tambah beliau lagi, sebagai seorang Ahli Parlimen dan pemimpin parti politik, Fadhli Shaari sepatutnya lebih matang dan profesional dalam menyampaikan pandangan politik, tanpa memperlekehkan usaha murni kerajaan dalam menjamin keamanan serantau. “Apa yang dilakukan oleh YB Pasir Mas ini hanya menggambarkan sikap politik sempit yang tidak membawa sebarang nilai tambah kepada rakyat atau negara,” tegas Dr. Taufiq. YB Dr. Taufiq turut menyeru semua pemimpin politik, termasuk pembangkang, agar menghormati prinsip diplomasi antarabangsa dan tidak menjadikan imej negara sebagai bahan permainan politik sempit demi kepentingan peribadi atau parti. Karikatur yang dimuat naik itu kini sedang mendapat perhatian meluas di media sosial, dengan pelbagai pihak termasuk masyarakat sivil mengkritik tindakan tersebut sebagai tidak wajar dan memalukan.