Nik Nazmi kesal Pas guna doa Qunut Nazilah seolah kerajaan musuhi Islam
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menyatakan rasa kesal terhadap tindakan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail yang memimpin bacaan Qunut Nazilah dalam satu himpunan di ibu negara minggu lalu.
Beliau berkata, meskipun terdapat perbezaan pandangan politik dan beliau sendiri tidak bersetuju dengan mesej yang dibawa oleh himpunan tersebut, hak rakyat untuk berhimpun secara aman adalah tiang penting dalam sistem demokrasi.
Namun beliau kesal dengan tindakan menggunakan doa Qunut Nazilah yang seolah-olah memberi gambaran bahawa kerajaan hari ini memusuhi Islam.
“Perbezaan politik tidak wajar disalut dengan retorik kebencian agama. Kita tidak lupa bahawa Pas pernah suatu ketika dulu mendoakan kehancuran lawan politik mereka, termasuk Dr Mahathir, yang kini berdiri bersama mereka.
“Sebelum ini ketika bersama bukan sahaja PKR malah DAP yang kini dilabel musuh umat Islam, pelbagai dalil diberi untuk menyokong keputusan politik mereka,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Nik Nazmi juga menyeru semua pihak agar berhati-hati dalam memberi reaksi terhadap himpunan tersebut.
Katanya, kritikan rakyat walaupun disampaikan dalam bentuk demonstrasi, ia tidak harus disambut dengan reaksi defensif semata-mata.
Sebaliknya, ia harus menjadi pencetus untuk mencari penyelesaian kepada isu-isu asas rakyat seperti kos sara hidup, keadilan sosial, dan masa hadapan ekonomi negara.
“Isu-isu dasar inilah yang kemudian akan diolah dan dibakar dengan sentimen kaum dan agama agar lebih tular bagi meraih undi, walaupun menyebabkan rakyat papa kedana,” katanya lagi.
BACA JUGA Doakan keburukan sesama Islam guna Qunut Nazilah adalah zalim – Mufti tegur siapa?