Dua kesalahan ini amat membimbangkan, Wadah seru henti guna Qunut Nazilah sebagai alat politik
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) dengan tegas menyeru agar semua pihak, khususnya agamawan, pendakwah dan pemimpin masyarakat menghentikan penggunaan Qunut Nazilah sebagai alat politik untuk menyerang pihak tertentu.
Timbalan Presidennya, Hasri Harun berkata, semua pihak juga perlu menjaga adab dan batas hukum dalam berbeza pandangan, selari dengan akhlak Rasulullah SAW.
Selain itu, orang ramai juga diminta supaya menolak budaya fitnah dan qazaf, yang menodai maruah peribadi serta mencetuskan dosa besar dalam masyarakat.

Beliau menyifatkan terdapat dua kesalahan yang amat membimbangkan semasa himpunan baju hitam di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 26 Julai lalu.
Pertama, katanya, penyalahgunaan Qunut Nazilah oleh Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail apabila pemimpin Muslim didoakan dengan keburukan.
Hasri menegaskan bahawa penyelewengan Qunut Nazilah atas dasar perbezaan politik adalah penyelewengan terhadap maksud sebenar syariat, mencemarkan kesucian doa, dan melahirkan budaya laknat yang membinasakan ukhuwah.
Kedua, jelas Hasri, kesalahan Qazaf oleh Datuk Ibrahim Ali yang secara terang-terangan menuduh seorang pemimpin negara dengan perlakuan liwat dan perlakuan seks songsang tanpa mengemukakan bukti atau empat orang saksi seperti yang ditetapkan oleh hukum Islam.
“Ia juga bersalahan dengan asas Islam dalam memelihara maruah.
“Kenyataan beliau juga adalah bersalahan dengan fakta-fakta kes terkait dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang didapati tidak bersalah dan telah dibebaskan. Menurut mazhab Jumhur ulama, tuduhan liwat ke atas seseorang adalah kesalahan qazaf, jika tidak dibuktikan dengan empat orang saksi lelaki atau pengakuan ikrar orang yang dituduh,” katanya.
Sehubungan itu, Hasri berharap semua pihak turut mendoakan petunjuk dan kebaikan buat pemimpin, bukan kebinasaan, selaras dengan roh nasihat yang diajarkan Nabi SAW.
Tambahnya, perpaduan umat perlu dipelihara bukannya membuka ruang kepada musuh Islam dengan pertelingkahan sesama sendiri.
BACA JUGA Minda sakit Ketua Penerangan Pas: Menghina diplomasi Malaysia, jejas imej Islam