Sindiran biadab MP Pas: Pemuda AMANAH Negeri Sembilan buat laporan polis

Pemuda AMANAH Negeri Sembilan membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban hari ini.

Laporan polis itu susulan sindiran biadab pemimpin Perikatan Nasional (PN) berkenaan menerusi karikatur watak monyet sebagai hakim manakala kambing dan biri-biri sedang berebut pisang.

Ketua Pemuda AMANAH Negeri Sembilan, Mohd Hanis Alimin berkata, sebagai seorang pemimpin daripada parti yang membawa imej Islam, tidak sepatutnya Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pas Pusat berbuat sedemikian.

“Di mana sifat kemanusiaan dia? Dia membawa imej Islam dan ahli Parlimen sedangkan ramai terbunuh disebabkan konflik itu yang majoritinya adalah orang awam yang tidak berdosa.

“Kalaulah dunia percaya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan konflik ini, kenapa dia memperlekehkan dan menyamakan usaha ini sebagai usaha binatang?” bidasnya.

Bagi Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH Negeri Sembilan, Zainal Lufti Zainal Fitry pula, sindiran Ahmad Fadhli terhadap usaha Perdana Menteri itu dibimbangi boleh menjejaskan hubungan diplomatik Malaysia dengan Thailand dan Kemboja.

Beliau berkata, Ahmad Fadhli sepatutnya berbangga dengan peranan Perdana Menteri dalam usaha perdamaian kedua-dua negara yang bertelagah itu.

“Kita sepatutnya berasa bangga apabila Perdana Menteri diberi kepercayaan menyelesaikan konflik peperangan antara dua negara jiran yang dekat dengan kita.

“Tapi sebaliknya Ahmad Fadhli yang berstatus Ahli Parlimen pula memperlekehkan usaha tersebut dengan memuat naik lukisan kartun haiwan di media sosial seolah-olah Malaysia mendamaikan konflik antara binatang.

“Kita risau tindakannya itu boleh menjejaskan Malaysia atau mungkin menjadi isu diplomatik,” kata Zainal Lufti lagi.

Sehubungan itu, tegasnya, Pemuda AMANAH Negeri Sembilan berharap tindakan undang-undang dapat dikenakan terhadap wakil rakyat Pas berkenaan.

Terdahulu, Ahmad Fadhli tidak berhasrat memohon maaf berhubung tindakannya memuat naik karikatur biadab menyindir rundingan damai antara Thailand dan Kemboja yang diusahakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dia sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan susulan laporan yang telah dibuat oleh pelbagai pihak.

Paparan karikatur janaan AI itu turut disertakan kapsyen: “Kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang.”

Walau bagaimanapun, hantaran berkenaan telah dipadam selepas menerima cemuhan orang ramai.

BACA JUGA Dua kesalahan ini amat membimbangkan, Wadah seru henti guna Qunut Nazilah sebagai alat politik