G57 buat laporan polis terhadap portal didakwa sebar fitnah isu lesen carigali mineral

FOTO BERITA: Laporan Polis & Sidang Media mengenai fitnah dan hasutan terhadap portal susulan penyiaran artikel “Syarikat Farhash Terima Lesen Carigali Mineral di Sabah” bertarikh 21 Julai 2025 oleh Datuk Zulkarnain Mahdar Pengerusi, Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) di Balai Polis Sri Petaling, Kuala Lumpur. 30hb Julai 2025 (Rabu)

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar hari ini tampil membuat satu laporan polis dan mengadakan sidang media di Balai Polis Sri Petaling, berhubung penyiaran satu artikel bertajuk “Syarikat Farhash Terima Lesen Carigali Mineral di Sabah” yang diterbitkan oleh sebuah portal berita pada 21 Julai 2025.

Dalam sidang media tersebut, Datuk Zulkarnain menegaskan bahawa artikel berkenaan mengandungi unsur fitnah dan hasutan, serta mencemar reputasi pihak tertentu termasuk kepentingan rakyat Sabah.

“Artikel ini bukan sahaja tidak berasaskan fakta, malah sengaja direka untuk membina persepsi buruk terhadap beberapa individu dan kerajaan negeri. Kami melihat ini sebagai satu usaha terancang untuk mengelirukan rakyat,” tegas beliau. Beliau turut mempersoalkan niat dan sumber artikel tersebut, yang menurutnya bersifat berat sebelah dan berniat jahat.

Datuk Zulkarnain turut menyeru pihak berkuasa, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menjalankan siasatan segera terhadap portal berkenaan serta mengambil tindakan undang-undang sewajarnya.

“G57 tidak akan berdiam diri apabila ada pihak yang menyebar maklumat palsu atas nama kebebasan media. Ini bukan soal politik, ini soal integriti dan tanggungjawab,” katanya lagi.

Laporan polis yang dibuat merupakan langkah pertama dalam siri tindakan yang akan diambil G57, termasuk tindakan undang-undang sivil sekiranya perlu. Beliau turut menggesa semua portal berita agar lebih bertanggungjawab dalam penyiaran berita, dengan melakukan semakan fakta menyeluruh bagi mengelakkan salah maklumat kepada orang awam.