Penstrukturan semula subsidi telur ayam mulai esok, ini faktanya
Penstrukturan semula subsidi telur ayam akan berkuatkuasa mulai esok sebagai sebahagian daripada pendekatan penyasaran subsidi berfasa lebih lestari dan berimpak tinggi, umum Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Dengan ini subsidi telur ditamatkan.
“Sebagai inisiatif segera untuk memastikan keterjaminan bekalan dan kestabilan harga telur ayam, pihak industri telah bersetuju untuk memperkenalkan Telur Gred Khas yang akan ditawarkan pada harga yang lebih berpatutan,” kata kementerian tersebut dalam satu kenyataan.
Selain itu telur ayam boleh diperoleh dengan harga kompetitif menerusi program jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah di seluruh negara.
Hasil penjimatan ekoran penstrukturan ini akan disalurkan semula kepada program-program kesejahteraan rakyat.
“Keputusan ini juga dibuat setelah mengambil kira keyakinan terhadap keupayaan pihak industri dalam memastikan pengeluaran telur ayam yang stabil dan mencukupi.”
Dengan penamatan subsidi, harga telur ayam akan diapungkan tetapi kawalan boleh dikenakan pada musim-musim tertentu.
Menurut kementerian, penstrukturan semula telah pun mula dibuat secara berperingkat menerusi dua langkah iaitu.
(i) kawalan harga telur ayam dihentikan dan kadar subsidi telur ayam dikurangkan dari RM0.10 kepada RM0.05 sebiji mulai 1 Mei 2025
(ii) penstrukturan semula subsidi telur ayam sepenuhnya mulai 1 Ogos 2025 di mana pemain industri akan meneruskan operasinya tanpa mendapat lagi subsidi dari pihak kerajaan.
Usaha penstrukturan semula akan menjimatkan dana sebanyak RM100 juta.
BACA JUGA: Tiga kaedah tanah wakaf didaftarkan kepada MAIN