Lobi Parlimen Gamat dengan Sidang Media Pasca Pembentangan RMK-13

FOTO BERITA: Sidang Media oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkaitan RMK-13 di Lobi Dewan Rakyat Parlimen Malaysia. 31hb Julai 2025. Khamis)

Dalam sidang media yang berlangsung di lobi Parlimen, Zahid menjelaskan bahawa RMK-13 memberi penekanan kepada pembangunan luar bandar, pembasmian kemiskinan tegar dan pemerkasaan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) sebagai antara agenda utama kerajaan dalam tempoh lima tahun akan datang. “RMK-13 ini bukan sekadar dokumen perancangan, tetapi merupakan ikrar kerajaan untuk menyusun semula keutamaan pembangunan, agar tiada rakyat yang tercicir – baik di bandar mahupun luar bandar,” tegas Zahid.

Timbalan Perdana Menteri II, Dato’ Sri Fadillah Yusof, mengadakan sidang media khas di Lobi Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia sejurus selepas pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam sidang media tersebut, Fadillah menegaskan bahawa RMK-13 akan memberi tumpuan besar kepada pembangunan wilayah yang seimbang, dengan penekanan khusus terhadap Sarawak, Sabah dan negeri-negeri luar bandar agar tidak terus ketinggalan dalam arus pembangunan nasional. “Kerajaan komited untuk menutup jurang pembangunan antara wilayah. RMK-13 akan menjadi pemangkin kepada projek-projek infrastruktur strategik yang mampan, menyeluruh dan mesra rakyat di semua kawasan, khususnya di Sabah dan Sarawak,” kata beliau.

YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II, mengadakan sidang media khas di Lobi Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia bagi menjelaskan aspek kewangan dan fiskal di sebalik pelan pembangunan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dibentangkan Perdana Menteri

Dalam sidang media tersebut, Amir Hamzah menegaskan bahawa RMK-13 akan dilaksanakan berdasarkan prinsip keberdayaan fiskal dan pengurusan kewangan yang berhemat, dengan matlamat utama untuk memperkukuh ekonomi negara dan memperluas ruang fiskal jangka panjang. “RMK-13 dirangka dengan disiplin fiskal yang ketat namun fleksibel, untuk memastikan pertumbuhan mampan tanpa menambah beban hutang negara secara berlebihan,” jelas beliau kepada media.

Sementara itu Datuk Ahmad Fahmi Fadzil Menteri Komunikasi dalam kenyataannya kepada media, menegaskan bahawa kerajaan akan memastikan setiap rakyat memahami intipati dan manfaat RMK-13 menerusi pelbagai saluran komunikasi, termasuk media arus perdana, digital serta program libat urus di peringkat akar umbi. “Kita tidak mahu RMK-13 hanya menjadi dokumen yang dibaca oleh teknokrat dan ahli parlimen. Ia mesti sampai kepada rakyat – secara jelas, tepat dan mudah difahami,” katanya.

Menteri Komunikasi juga menekankan bahawa sebagai jurucakap rasmi kerajaan, beliau akan menyampaikan perkembangan pelaksanaan RMK-13 secara berjadual, termasuk menyalurkan maklum balas rakyat kepada kepimpinan tertinggi. “RMK-13 bukan sekadar rancangan pembangunan, tetapi satu ikrar bersama – kerajaan dan rakyat. Maka komunikasi dua hala sangat penting bagi memastikan pelaksanaan berjalan dengan lancar dan inklusif,” ujarnya lagi.

r
