‘Boleh PRU awal tapi guna dana kekayaan anak sendiri’

Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat terus menekan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mendesak Perdana Menteri mengadakan pilihan raya umum (PRU) sekaligus mengundang kritikan orang ramai.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi yang hilang deposit itu mendakwa PRU membolehkan Anwar tahu sama ada rakyat menyokong kepimpinan Menteri Kewangan berkenaan atau tidak.

Hal ini memandangkan, dakwanya, Anwar pada masa ini bukan pilihan rakyat untuk menjadi Perdana Menteri.

“Dia jadi PM kerana menghentikan perbicaraan seorang pemimpin supaya ia boleh bawa partinya sokong Anwar.

“Tetapi PRU boleh tentukan sokongan oleh rakyat benar dan demokratik.

“Oleh itu, bubarlah Parlimen dan adakan PRU sekarang,” desak individu berusia 100 tahun itu di aplikasi X.

Menjengah ke ruangan komentar, rata-rata mengecam termasuk menyindir pemilikan kekayaan luar biasa oleh kedua-dua anak bekas Perdana Menteri berkenaan iaitu Tan Sri Mokhzani dan Mirzan.

“Boleh PRU awal tapi guna dana kekayaan anak sendiri, boleh? Itu yang sebetulnya. Nak buat usul undi tidak percaya kena pergi Parlimen bukan pergi The Mines,” perli netizen.

Mokhzani (kiri) memiliki kekayaan kira-kira RM1 bilion, manakala Mirzan RM246.2 juta seperti yang diisytiharkan kepada SPRM.

Dalam masa sama, ramai mengingatkan agar Mahathir berhenti daripada mengganggu gugat kestabilan kerajaan Madani ketika beberapa pemimpin pembangkang sedang berdepan kes mahkamah.

“Dahlah tu, fokus pada masalah rakyat dan bangunkan negara. Tak habis-habis nak ganggu gugat kerajaan. Kerajaan tengah stabil sekarang ni. Yang bermasalah sekarang ni pembangkang, terutama rasa tak selamat dengan kes-kes besar bakal masuk mahkamah,” kata pengguna X, Airie Johan.

Tidak sedikit juga warganet yang berpesan kepada Mahathir supaya menumpukan kepada urusan ukhrawi, daripada terus mengganggu pentadbiran kerajaan dengan mendesak Anwar berundur.

“Sudah-sudahlah Tun banyakkan duduk atas tikar sembahyang, buat bekalan atas kerosakan yang telah Tun buat selama ini. Bagilah PMX buat pembaikan atas kerosakan yang Tun buat,” kata @MhdNoorHamdan2.

BACA JUGA MP Pas mohon maaf, akui khilaf tuduh PM pakai baju batik Indonesia