AMANAH ingatkan Kerajaan Malaysia, PM waspada niat sebenar Amerika

AMANAH menasihatkan kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya sentiasa berwaspada terhadap niat sebenar Amerika Syarikat, termasuk Presidennya Donald Trump.

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad berkata, minat Trump untuk menghadiri Persidangan ASEAN Ke-47 pada Oktober ini dialu-alukan, namun ianya mestilah bukan bertujuan untuk mempengaruhi atau memaksa ASEAN ke arah hala tuju yang diinginkan oleh Amerika.

Kata beliau, dasar yang dilaksanakan Amerika Syarikat kini banyak dicorakkan oleh kepentingan Zionis Israel, di mana ia terbukti apabila kezaliman yang berlaku di Gaza terus disokong dan dibiayai Amerika.

“Tiada yang boleh menafikan pengaruh dan kuasa Amerika Syarikat dalam dunia dewasa ini dan dengan kebersamaan Amerika, sudah pasti semua perancangan ASEAN akan dapat dicapai dengan mudah dan jayanya.

“Tetapi jangan meletakkan nasib rantau ini dalam tangan atau di bawah kekuasaan mereka,” kata Khalid dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pendekatan ‘non-aligned’ yang dibawa Malaysia sekian lama mesti terus diamalkan dan hubungan Malaysia dengan negara-negara lain, khususnya yang menganggotai BRICS, perlu terus dikukuhkan.

Selari dengan pendekatan non-aligned ini, persahabatan dengan semua pihak dialu-alukan, demi mengekalkan keamanan dan pembangunan bersama di rantau ini.

Menurutnya, zaman ‘Single Super Power’ sudah mula berakhir, maka tiada keperluan untuk Malaysia dan ASEAN mengiyakan apa sahaja perancangan yang dikemukakan Donald Trump.

“Tidak boleh dinafikan suasana geo-politik dunia sudah mula berubah. Zaman ‘Single Super Power’ sudah juga mula berakhir.

“Tiada keperluan Malaysia dan ASEAN mengiyakan apa sahaja perancangan yang dikemukakan Donald Trump. Sudah pasti cadangan-cadangan yang dikemukakan beliau bertujuan menjaga kepentingan Amerika dan sekutu-sekutu utama Amerika, khususnya Israel,” ujarnya.

BACA JUGA Penangan PMX, pengusaha batik di Kelantan maklum ‘website down’ diserbu pelanggan