Faiz puji RMK13, suntikan tepat untuk sektor perikanan negara

RMK13 untuk tempoh 2026-2030 yang diumumkan Perdana Menteri disifatkan sebagai bertepatan dengan keperluan semasa dalam menjamin keterjaminan makanan dan memperkukuh sumber pendapatan komuniti nelayan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Faiz Fadzil berkata, fokus kerajaan untuk meningkatkan kadar sara diri hasil perikanan kepada 98% menjelang 2030 berbanding 90.7% pada 2023 adalah amat dihargai.

Kata beliau, ini adalah satu daripada 11 sasaran RMK13 bagi mencapai keterjaminan makanan pada penghujung dekad ini, dan sudah pastinya para nelayan serta pemain industri perikanan adalah penerima manfaat yang utama.

“LKIM menyambut baik pengumuman Kerajaan mengenai pewujudan hab perikanan bersepadu yang dilengkapi dengan pelabuhan dan fasiliti logistik yang menyokong aktiviti di sepanjang rantaian nilai.

“Pembinaan dan naik taraf limbungan vesel nelayan bersepadu yang merangkumi fasiliti pembinaan serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih akan digalakkan di hab ini melalui penyediaan insentif dan sokongan bagi meningkatkan kapasiti dan sumbangan industri perikanan negara.

“Selain itu, industri akuakultur akan diperkasakan menerusi pembangunan baka dan benih berkualiti, penerimagunaan inovasi dan teknologi termaju serta peningkatan peluang pelaburan bagi mengeluarkan hasil bernilai tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Faiz menyokong penuh komitmen kerajaan untuk memperketat penguatkuasaan Akta Perikanan 1985 untuk membendung aktiviti perikanan secara haram dan berlebihan, terutama di kawasan Laut China Selatan dalam usaha meningkatkan pendaratan ikan tempatan.

Beliau percaya bahawa pelaksanaan RMK13 ini bukan sahaja akan memacu reformasi sektor perikanan, tetapi juga menjadikan Malaysia sebagai peneraju utama Ekonomi Biru berdaya saing dan mampan di Asia Tenggara.

“Bagi pihak LKIM, tahniah saya ucapkan kepada YAB Perdana Menteri dan seluruh jentera kerajaan yang telah merangka RMK13 dengan teliti, menyeluruh dan penuh wawasan.

“Inilah contoh terbaik bagaimana dasar pembangunan negara dapat dilaksana dengan jiwa rakyat dan pandangan masa hadapan,” katanya lagi.

BACA JUGA Penangan PMX, pengusaha batik di Kelantan maklum ‘website down’ diserbu pelanggan