Ini usaha kerajaan demi sekolah pondok
Kerajaan akan memartabatkan institusi sekolah pondok sebagai benteng pertahanan akidah, akhlak dan sahsiah umat Islamdengan teknologi maklumat dan kecerdasan buatan.
“Kita mahu tambah dengan teknologi baharu termasuk teknologi maklumat, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) supaya benteng ini kekal sebagai benteng terkuat yang boleh pertahankan akidah, akhlak dan sahsiah ummah,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Usaha ini melibatkan kerjasama antara Kementerian Kewangan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Beliau juga akan meluncurkan Program Mushaf Ummah pada 8 Ogos ini dalam usaha memperluas penyebaran al-Quran dan mesej Islam ke serata dunia melalui terjemahan rasmi ke dalam 30 bahasa dunia.
“Dalam semua perjalanan saya ke seluruh dunia, Peru, Brazil, Perancis, Kemboja dan puluhan negara dalam beberapa tahun ini, setiap kali saya berkunjung, saya akan bawa al-Quran bersama terjemahan dalam bahasa negara itu dan kita edarkan secara rasmi dan inilah bagi saya satu pendekatan yang baik,” kata beliau.
BACA JUGA: ‘Yang riuh rendah minta saya turun, kebanyakannya ada kes rasuah’