Kematian Zara Qairina Mahathir: Ini jaminan PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi jaminan bahawa tiada perlindungan akan iberikan kepada mana-mana pihak, termasuk pelaku kes, dalam kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir yang berkait dengan buli.

“Baru-baru ini ada kematian (berkaitan kes Zara Qairina) dan Menteri Pendidikan ‘diserang’. Kematian ini bukan soal yang ringan. Anak petani miskin di Kundasang kalau mati, itu tanggungjawab kita bersama untuk cari (pembunuh) .. bukan tuduh sesiapa.

“Saya bicara terus dengan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail). Dia (Mohd Khalid) kata kita buat siasatan segera, kita cari segala fakta dan selesaikan. Dia kata sudah 60 orang (saksi) diambil keterangan.

“Kita harus ingat ini bukan negara hukum, bukan negara fitnah. Siapa pun terlibat, tidak peduli siapa pun (berkaitan) Tan Sri, Datuk Seri, menteri, anak menteri, kalau terlibat dalam jenayah, pembunuhan atau bersengkongkol, tidak akan diberi perlindungan tetapi jangan memfitnah.”

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perasmian penutupan Majlis Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu.

Beliau menambah bahawa laporan lengkap polis berhubung kes ini telah pun diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

“Saya tidak campur (dalam urusan kes Zara Qairina). Saya tanya (kepada pihak berkaitan) supaya rakyat tahu,” katanya.

Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu.

Mangsa disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.

BACA JUGA: Bil air Perlis paling mahal, kena perah lagi dengan parking berpalang