Kerajaan turunkan defisit berfasa pastikan hutang negara tak bertambah

Kerajaan menyasarkan untuk menurunkan defisit secara berfasa bagi memastikan jumlah hutang negara tidak bertambah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, sebab itu sehingga kini kadar hutang baharu negara menurun setiap tahun, iaitu daripada RM100 bilion pada 2021 kepada RM76.8 bilion pada 2024.

“Sasaran kita ialah menurunkan defisit secara berfasa. Selagi defisit tidak diturunkan, jumlah hutang akan bertambah.

“Sebab itu, dari segi hutang, saya sebut bahawa pada 2021, hutang baharu adalah sebanyak RM100 bilion; 2022 (RM99 bilion), 2023 (RM92.6 bilion) dan 2024 (RM76.8 bilion).

“Langkah ini dilaksanakan secara berfasa kerana jika dilakukan secara mendadak, peruntukan tambahan untuk pendidikan, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan kesihatan itu akan terbantut.

“Jadi, defisit harus dikurangkan tapi jika terus belanja boros, maka hutang akan mencecah terlalu tinggi,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

BACA JUGA Bahas RMK13: Baju batik PMX, 13 Mei dan buku RMK tak tebal antara hujah kontroversi Pas