MCMC siasat isu beri tulang ayam, tiga remaja dirakam keterangan
Tiga remaja lelaki dirakam keterangan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung penyebaran video yang memaparkan mereka memberi sisa makanan termasuk tulang ayam kepada seorang gelandangan.
MCMC memaklumkan, rakaman keterangan dan siasatan lanjut berhubung perkara itu telah dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, Johor hari ini.
Dalam masa sama, tiga telefon bimbit dan tiga kad SIM mereka terbabit disita bagi membantu siasatan.
Kenyataan MCMC memberitahu, kandungan video itu dipercayai berunsur jelik dan melampau, sehingga mencetuskan kemarahan serta kecaman meluas dalam kalangan warganet.
Selain itu, jelas MCMC, rakaman video tersebut juga menyentuh sensitiviti masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, tular video memaparkan tiga remaja lelaki memberikan nasi bersama tulang ayam kepada seorang gelandangan yang tidur di kaki lima.
Tindakan biadab tiga individu dipercayai pempengaruh media sosial itu mengundang kecaman orang ramai.
Susulan itu, ketiga-tiganya membuat permohonan maaf secara terbuka dengan memberitahu apa yang mereka lakukan itu hanya ‘content’ manakala gelandangan itu telah diberikan set KFC baharu.
BACA JUGA Aneh MP pembangkang pertahan kepentingan orang asing