Sebahagian komponen Boeing dibuat di Malaysia, kata PMX

Perdana Menteri menegaskan kerajaan telah meletakkan syarat kepada syarikat pengeluar supaya sebahagian besar komponen dan pemasangan pesawat Boeing dilakukan di dalam negara bagi memastikan terdapat limpahan ekonomi domestik.

“Syarat kita dengan Boeing adalah agar sebahagian pengeluarannya dilakukan di sini.

“Kalau tengok sayap Airbus, banyak dibuat di Negeri Sembilan, Kulim, dan juga di Selangor. Begitu juga komponen untuk Boeing,” katanya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan dalam sesi Soal Jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, pembelian pesawat Boeing dan Airbus adalah penting berikutan peningkatan permintaan laluan penerbangan yang sebelum ini dibatalkan.

“Tan Sri Yang Dipertua, kita kena beli. Dan kita kena beli banyak sebab laluan yang kita batalkan itu terlalu banyak keperluan dan permintaan,” katanya.

Menteri Kewangan berkenaan berkata, keputusan pembelian tersebut dibuat oleh Malaysia Airlines Group (MAG) hasil rundingan yang telah berjalan sejak dua tahun lalu, termasuk dengan pihak Boeing dan Airbus, tanpa sebarang campur tangan politik.

“Menteri MITI dah jelaskan semalam, itu keputusan MAG. Mereka ada dua pilihan. Pesawat itu memang perlu dibeli.

“Ini kerana buat pertama kali sejak tahun 2004, setelah bertahun-tahun mencatat kerugian, MAG berjaya meraih keuntungan kerana pengurusan yang cekap dan telus.

“Kita tidak campur tangan dari segi politik,” jelasnya.

Tambah Perdana Menteri lagi, pesanan besar dibuat sejak tahun lalu melibatkan pesawat wide-body Airbus dan Boeing, selain turut menjalankan rundingan dengan Brazil dan China bagi pilihan pesawat lain.

BACA JUGA MCMC siasat isu beri tulang ayam, tiga remaja dirakam keterangan