NHMS 2024 Dedah Corak Pemakanan Rakyat Membimbangkan – KKM Mahu Tindakan Menyeluruh

FOTO BERITA: “Pemakanan Sihat Tanggungjawab Bersama” sesi makan tengahari bersama YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan di Dewan Banquet, Aras Bawah, Parlimen Malaysia. 05 Ogos 2025 (Selasa).

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2024 yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membongkar realiti yang membimbangkan berkaitan corak pemakanan rakyat Malaysia, khususnya melibatkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran, susu, gula, lemak dan garam.

Tinjauan NHMS yang dijalankan setiap beberapa tahun ini merupakan sumber data penting bagi memahami landskap kesihatan negara. NHMS 2024 secara khusus menumpukan kepada aspek pemakanan bagi menilai tahap kesihatan penduduk dan menyokong pembangunan dasar kesihatan awam yang lebih berkesan.

Dapatan tinjauan menunjukkan hanya 12.8% remaja mengambil sekurang-kurangnya dua sajian buah-buahan setiap hari, manakala 5.2% sahaja yang mengambil sekurang-kurangnya tiga sajian sayur-sayuran. Situasi dalam kalangan dewasa pula tidak jauh berbeza, dengan hanya 17.1% mengambil dua sajian buah-buahan dan 12.2% mengambil tiga sajian sayur-sayuran setiap hari, jauh lebih rendah daripada saranan garis panduan pemakanan kebangsaan.

Lebih membimbangkan, hanya 2.9% remaja dan 0.7% dewasa dilaporkan mengambil dua sajian susu atau produk tenusu setiap hari seperti yang disarankan dalam Malaysian Dietary Guidelines 2020. Pengambilan Gula, Lemak dan Garam Melebihi Had Disarankan63.1% remaja dan 47.0% dewasa pula mengambil gula melebihi saranan harian, dengan separuh daripada jumlah ini datang dari minuman manis. Secara purata, remaja mengambil 7.6 cawan minuman manis seminggu manakala dewasa pula 8.1 cawan.

Pengambilan lemak juga berlebihan, di mana remaja 36.1%, dewasa 34.9% dan bagi warga emas: 34.1% telah melebihi kadar yang disyorkan, iaitu tidak lebih daripada 30% daripada jumlah pengambilan tenaga harian.

Dalam aspek pengambilan garam, 75.9% populasi dewasa mengambil melebihi 5 gram sehari, iaitu lebih daripada satu sudu teh, dengan purata harian sebanyak 7.3 gram (1½ sudu teh garam).

KKM menegaskan bahawa dapatan ini memperkukuh keperluan kepada pendekatan “whole of government” dan “whole of society” dalam menangani isu pemakanan negara. Pendekatan ini bukan hanya melibatkan sektor kesihatan, tetapi memerlukan kerjasama kementerian lain, agensi berkaitan, pihak industri, serta pemimpin masyarakat untuk memperluas akses dan pendidikan mengenai pemakanan sihat.

Isu seperti pengambilan rendah buah, sayur dan susu memerlukan perhatian dalam bentuk peningkatan akses, promosi harga berpatutan, dan galakan budaya pemakanan sihat. Sementara itu, pengambilan gula, garam dan lemak berlebihan perlu ditangani dengan kawalan lebih ketat ke atas kandungan makanan serta advokasi berterusan kepada masyarakat.

Sebagai sebahagian daripada langkah permulaan, Kementerian kini sedang mengkaji garis panduan baharu untuk majlis rasmi kerajaan agar tidak menghidangkan minuman manis dan memperbanyak pilihan sayur-sayuran, sumber kekacang, dan susu/tenusu.

Inisiatif ini bertujuan membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan penjawat awam sebagai pemimpin contoh kepada masyarakat, selaras dengan nilai teras Malaysia MADANI, khususnya aspek Kemampanan dan Kesejahteraan.

KKM percaya melalui kerjasama kolektif dan kepimpinan melalui teladan, cabaran pemakanan di Malaysia boleh ditangani dengan lebih efektif demi kesihatan generasi kini dan akan datang.