SKMM siasat penafian Mahiaddin isu subsidi RON95

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil maklum mengenai kenyataan media Pejabat Perdana Menteri agar siasatan dijalankan berhubung penafian Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin.

Mahiaddin telah menafikan dakwaan beliau mempertahankan hak warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.

Susulan itu SKMM berkata pihaknya akan mengambil tindakan segera menyiasat kenyataan penafian tersebut.

Menurut SKMM, pihaknya akan menyiasat perkara itu berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada.

“MCMC mengambil maklum kenyataan media Pejabat Perdana Menteri supaya siasatan dijalankan berhubung satu dakwaan yang telah dinafikan Ahli Parlimen Pagoh.

“MCMC mengingatkan orang ramai untuk tidak menyalahgunakan platform media sosial untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih,” menurut kenyataan itu di Facebook.

Semalam, Anwar pada sidang Dewan Rakyat dilaporkan berkata beliau menerima laporan ada Ahli Parlimen daripada blok pembangkang yang mempertahankan hak warga asing dalam mendapat manfaat penyelarasan subsidi.

Susulan itu, Mahiaddin yang juga bekas Perdana Menteri menerusi satu perkongsian di media sosialnya menafikan beliau pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang membawa maksud mempertahankan hak warga asing dalam penyasaran subsidi RON95.

BACA JUGA Polis Kedah rampas lebih 66kg ganja, antara terbesar tahun ini