Dari lapan hari dilanjut hingga enam bulan, Israel larang tokoh ini masuk Masjid Al-Aqsa

Pihak berkuasa Israel semalam bertindak melanjutkan larangan masuk ke Masjid Al-Aqsa terhadap Mufti Besar Baitulmaqdis dan Wilayah Palestin, Sheikh Mohammed Hussein.

Larangan biadab itu susulan khutbah Sheikh Mohammed Hussein pada hujung Julai lalu yang mengutuk dasar penjajah Israel di Gaza.

Menurut peguam Sheikh Hussein, larangan awal selama lapan hari itu kini dilanjutkan sehingga enam bulan.

Ia sekali gus menghalang tokoh agama berusia 59 tahun berkenaan daripada memasuki tapak suci di Baitulmaqdis Timur.

Sheikh Mohammed Hussein

Akhir Julai lalu, Sheikh Hussein mengecam dasar kebuluran yang dikenakan Israel terhadap dua juta penduduk Palestin di Gaza.

Agensi berita Wafa melaporkan Sheikh Hussein kemudiannya dipanggil pihak berkuasa Israel pada 27 Julai sebelum diserahkan perintah pengusiran selama lapan hari dari kawasan masjid yang kini telah diperbaharui.

Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin turut mengecam tindakan Israel itu dan menegaskan bahawa larangan tersebut merupakan cubaan terancang untuk menyingkirkan tokoh agama dari Masjid Al-Aqsa.

Pada 2013, Israel pernah menahan Sheikh Hussein seketika tetapi tanpa dakwaan lanjutan susulan kekecohan di sekitar Masjid Al‑Aqsa apabila dikatakan kerusi telah dibaling terhadap pelawat Yahudi.

Sheikh Hussein ketika itu bagaimanapun dibebaskan tanpa dikenakan sebarang tuduhan selepas disiasat selama enam jam.

BACA JUGA Bantuan payung terjun meragut nyawa, petugas hospital turut terkorban