Kes Zara Qairina: KPM buat lebih 10 laporan polis, ramai sebar maklumat palsu
Sudah lebih 10 laporan polis daripada Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung penyebaran video dan ulasan mengenai kes kematian Zara Qairina Mahathir, 13.
Laporan polis antara lain dibuat KPM di Putrajaya selepas dinasihat Bahagian Undang-Undangnya.
Tindakan sama dibuat di Sabah oleh guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar, Sabah dan ibu bapa kepada pelajar yang nama, gambar serta identiti mereka disebarkan kononnya terbabit dalam kes berkenaan.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, laporan polis dibuat selaras dengan keutamaan kementerian untuk menjaga kesejahteraan pelajar dan warga sekolah, memandangkan penyebaran berita palsu itu bukan sahaja menjejaskan emosi pihak terlibat, malah turut mengancam keselamatan.
Fadhlina berkata, sebaran maklumat palsu itu sama ada dalam bentuk video atau tulisan yang dimuat naik dalam media sosial dan dikongsi secara meluas, boleh menimbulkan kemarahan pihak lain yang akhirnya mungkin menyebabkan pelajar atau guru terdedah kepada tindakan tidak diingini dilakukan terhadap mereka.
Tidak bermoral
Dalam masa sama, jelasnya, laporan polis itu juga bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat dakwaan dibuat dan mengambil tindakan terhadap mereka terbabit jika ia tidak benar, sekali gus menghentikan kegiatan tidak bermoral ini.
“Bayangkan bagaimana jika kesan hasil sebaran berita palsu ini menyebabkan pelajar atau guru diugut dan dipukul, atau siasatan kelak menunjukkan mereka tidak bersalah, tetapi mereka sudah ‘dihukum’ dengan pelbagai tuduhan palsu,” katanya, lapor BH.
Kes kematian Zara Qairina menggemparkan negara ini apabila pelajar Tingkatan Satu berkenaan ditemui parah dan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu.
Murid yang cemerlang dan aktif dalam pelbagai aktiviti semasa di sekolah rendah itu kemudiannya meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu, keesokan harinya pada jam 11 pagi.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, terdapat pihak yang aktif menyebarkan berita palsu berkaitan Zara sudah menarik bahan dimuat naik mereka di media sosial dan berhenti berbuat demikian susulan laporan polis dibuat KPM.
Sehubungan itu, beliau berkata, semua pihak perlu memahami kejadian yang berlaku bukan saja memberi tekanan kepada keluarga mangsa.
Malah, tambahnya, turut menjejaskan kesihatan mental pelajar dan guru sekolah terbabit yang perlu berdepan dengan pelbagai andaian serta tohmahan akibat tragedi menimpa anak tunggal dalam keluarga itu.
“Orang nampak seperti KPM diam, tetapi sebenarnya kita sentiasa melindungi dan memastikan kesejahteraan pelajar serta warga sekolah terpelihara.
“Kita bantu siasatan terutama dalam proses soal siasat membabitkan 60 saksi daripada sekolah itu yang perlu dibuat mengikut panduan undang-undang dan menepati Akta Kanak-Kanak 2001,” kata Fadhlina lagi.
BACA JUGA Guru Kelantan bakal meringkuk 20 tahun di penjara, tergamak cabul murid lelaki