Dari monyet ke lembu betina: Haram mengeji sesama Islam

Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Wira Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menegaskan bahawa analogi al-Quran yang menggunakan binatang bagi merujuk kepada sifat-sifat keji bukan menjadi lesen untuk mengeji mana-mana individu Muslim.

Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu berkata, perbuatan mengeji sesama Islam adalah haram dan satu kefasikan sebagaimana Hadis Bukhari bermaksud, “mencela orang yang beriman satu kefasikan”.

“Analogi al-Quran pasti mengandungi makna yang mendalam tetapi analogi manusia ada kalanya tersasar dan menjadi kontroversi kerana kurangnya ilmu dan terbatasnya kecerdikan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pada 26 Julai lalu, iaitu dua hari sebelum rundingan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja di Putrajaya, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari memuat naik karikatur seekor monyet berjubah hakim yang digambarkan menjadi orang tengah antara kambing dan biri-biri yang berebut pisang.

Paparan karikatur yang mengundang kecaman orang ramai itu turut disertakan kapsyen: “Kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang.”

Turut dimuatnaik tangkap layar laporan berita mengenai krisis antara Thailand dan Kemboja.

Ekoran itu, hantaran Ketua Penerangan Pas berkenaan dianggap banyak pihak sebagai memperlekeh peranan rasmi kerajaan Malaysia yang kini mempengerusikan ASEAN dalam usaha meredakan ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja.

Salman Al Farisi
Lembu betina

Baru-baru ini pula, Ketua Penerangan Pemuda Pas Maran, Muhammad Salman Al Farisi menyamakan wanita dalam kepimpinan dengan “lembu betina” dalam kawanan ternakan.

Salman berkata, pengalamannya menternak lembu selama lebih setahun menunjukkan lembu betina sering memimpin kawanan dengan menentukan lokasi meragut, waktu berehat dan masa pulang manakala lembu jantan hanya menjaga keselamatan.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, sememangnya al-Quran banyak membuat analogi menggunakan binatang dengan merujuk kepada wajah persamaan dalam sudut-sudut tertentu.

“Keldai dianalogikan pada orang yang jahil. Anjing analogi pada perangai yang keji. Babi pula untuk khianat dan kotor.

“Semut lambang kerjasama. Burung Hud Hud analogi kebijaksanaan. Manakala unta analogi untuk keberkatan,” jelas Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO Malaysia itu lagi.

Walau bagaimanapun, tegas beliau, analogi yang dibuat oleh manusia kadangkala menyimpang dan mencetuskan kontroversi akibat keterbatasan ilmu serta kecerdikan.

BACA JUGA Gelaran ‘lembu betina’: Apa kata MP, Adun Muslimat Pas?