Selangor Cadang Petanque, Muaythai & Silambam Dipertandingkan di SUKMA 2026

FOTO BERITA: Sidang Media Khas oleh YB Tuan Mohd Najwan Halimi, EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor. Turut hadir Dato’ Mohd Yazid Bin Sairi Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri dan YB Abbas Azmi ADUN Sri Serdang di Bilik Gerakan MTES, Bangunan SSAAS, Shah Alam, Selangor. 8hb Ogos 2025 (Jumaat)

SHAH ALAM, 8 Ogos 2025 – Kerajaan Negeri Selangor mencadangkan tiga sukan tambahan iaitu petanque, muaythai dan silambam untuk dipertandingkan dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026.

Cadangan itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor selepas meneliti permohonan, rayuan dan maklum balas daripada beberapa persatuan sukan kebangsaan dan negeri.

Menurut Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi, keputusan itu selaras dengan semangat kebersamaan serta usaha memacu pembangunan sukan negara. Katanya, cadangan tersebut akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan untuk dipertimbangkan sebelum dimuktamadkan pada atau sebelum 15 Ogos 2025.

Langkah ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Selangor dalam memperluaskan penyertaan serta memperkasakan pelbagai disiplin sukan, dari peringkat akar umbi hingga ke pentas kebangsaan,” jelas beliau.

Mohd Najwan turut mengingatkan semua pihak supaya tidak mempolitikkan sukan atau memainkan sentimen perkauman sempit, sebaliknya menjadikan sukan sebagai medan perpaduan rakyat Malaysia merentasi kaum, agama dan ideologi politik.

Beliau menegaskan, Selangor komited memastikan penganjuran SUKMA XXII 2026 berjalan lancar dan mencapai matlamat melahirkan lebih ramai atlet pelapis, sekali gus menyumbang kepada sasaran negara meraih pingat emas di Sukan Olimpik 2028.