Berhati-hati bila bercakap isu Zara Qairina

Seorang peguam yang juga pengguna TikTok Noorazmir Zakaria menasihatkan semua pihak berhati-hati bila mana membuat dakwaan berhubung kes arwah Zara Qairina.

Ini kerana pihak yang membuat dakwaan boleh berdepan saman fitnah di mahkamah sivil meskipun seseorang itu didapati bersalah di mahkamah jenayah.

“Jangan semudah itu buat spekulasi menuduh sesiapa sebab bahaya. Bahayanya ialah kalau anda disaman fitnah.

“Mungkin anda kata anda buat dakwaan berdasarkan laporan akhbar berdasarkan tangkapan dan dihadapkan ke mahkamah. Jadi berasaslah apa yang dikatakan.

“Sistem undang-undang tidak membenarkan sebarang jenayah dijadikan justifikasi kita untuk kita memfitnah di bahagian mahkamah sivil walaupun orang disabitkan bersalah di mahkamah jenayah.

“Undang-undang kita tidak bersifat demikian. Jadi kena berhati-hati. Kalau kena dakwa dan disaman di mahkamah sivil kita kena kemukakan bukti itu.

“Kalau kita tak buktikan, selalunya mahkamah akan membenarkan tuntutan saman fitnah terhadap diri kita.

“Jadi tolonglah berhati-hati.”

Beliau turut berpesan agar pihak polis dan pendakwa raya mempercepatkan siasatan dan dakwaan kes ini.

Noorazmir turut menjelaskan bahawa tahanan reman untuk siasatan tidak bermakna seseorang itu bersalah.

Zara Qairina meninggal dunia pada bulan lalu di hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu setelah ditemui dalam keadaan tidak sedar dalam pekarangan sekolah tahfiz di Tawau.

Jabatan Peguam Negara telah mengarahkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut termasuk bedah siasat semula.

BACA JUGA: Kes Zara Qairina: Ini perkembangan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara