Habuk pun tidak ada, pembangkang cakap mahu masukkan usul tapi…

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menyelar pembangkang yang berterusan putar belit berhubung undi tidak percaya walaupun sudah mengadakan himpunan Turun Anwar pada 26 Julai lalu.

Beliau berpendapat pembangkang sebenarnya tidak berani dan tidak cukup bilang untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP berkata, pembangkang hanya bersuara untuk memuaskan hati penyokong yang semakin hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan pembangkang yang menuntut kerajaan membenarkan undian dilakukan secara sulit bagi menguji sokongan sebenar dalam Dewan Rakyat.

“Sebelum ini, Ketua Pembangkang kata usul undi tidak percaya akan bergantung kepada satu lagi usul yang tidak ada kena mengena dengan usul undi tidak percaya.

“Kini YB Fadhli Shaari (Ketua Penerangan Pas) pula ‘cabar’ Kerajaan benarkan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri secara sulit?

“Kalau usul pun tidak masuk daripada pihak pembangkang, bagaimana untuk tentukan undian sulit atau tidak?” bidas Syahredzan.

Sembang kosong

Sehubungan itu, wakil rakyat Kerajaan Madani berkenaan mengingatkan pembangkang agar memasukkan usul tanpa perlu sembang kosong.

“Masukkan usul, jangan omong kosong sahaja. Rakyat sudah bosan.

“Sudah berminggu sejak himpunan pembangkang, pembangkang cakap mahu masukkan usul.

“Sehingga kini, habuk pun tidak ada. Pelbagai alasan pula diketengahkan,” tegas Syahrezan lagi.

BACA JUGA Tadika milik Pas pula pasang Jalur Gemilang terbalik