Pengendali laman Facebook sebar berita palsu kes Zara disiasat

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memaklumkan beberapa individu sudah dipanggil menjalani sesi rakaman keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13.

Menerusi kenyataan, MCMC berkata, mereka terbabit dipanggil bagi siasatan penyebaran kandungan di media sosial berhubung kes membabitkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar, Sabah itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di Kuala Lumpur, semalam.

Sehubungan itu, satu unit telefon bimbit dan sekeping kad SIM disita bagi membantu siasatan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Kandungan terbabit dipercayai mengandungi maklumat palsu dan bersifat perkauman, agama dan institusi diraja (3R).

“Ia juga dikhuatiri boleh mencetuskan kekeliruan awam, selain menjejaskan kelancaran proses siasatan pihak berkuasa,” kata MCMC, hari ini.

Kekeliruan awam

Dalam masa sama, MCMC menasihati orang ramai supaya memberi ruang kepada proses siasatan dan berhati-hati terhadap sebarang kandungan spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan awam.

Menurut MCMC, penyebaran maklumat belum disahkan bukan hanya berisiko mengguris hati waris mangsa, malah bercanggah dengan nilai etika dan boleh mengganggu proses keadilan.

Sebelum ini, pelbagai dakwaan berlegar di media sosial termasuk kononnya Zara Qairina dimasukkan ke dalam mesin basuh sehingga mengalami kecederaan dalaman.

Walau bagaimanapun, peguam mewakili keluarga Zara memaklumkan dakwaan tersebut adalah satu spekulasi.

BACA JUGA Tadika milik Pas pula pasang Jalur Gemilang terbalik