Selepas teruk kena kecam, kakitangan kerajaan ini mohon maaf
Seorang penjawat awam di Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seluruh warga Malaysia atas hantaran Facebook yang memberi persepsi negatif terhadap imej Perdana Menteri.
Individu bernama Isma Ashraff memuat naik permohonan maaf itu di TikTok, selepas bekas ADUN Titi Serong menuntut untuk melakukan sedemikian.
Individu itu didakwa menggunakan kata-kata kesat terhadap PMX.
Hantaran itu dikecam banyak pihak sehingga netizen mencari tahu latar belakang individu terbabit, yang kemudian mendapati dia bekerja sebagai penjawat awam.
“Merujuk kepada isu yang telah diviralkan semalam, berhubung kenyataan menghina Perdana Menteri Malaysia menggunakan akaun saya, saya dengan sepenuh hati memohon ampun dan maaf di atas perkara yang berkaitan yang telah berlaku.
“Sesungguhnya sebagai penjawat awam dan terikat dengan pekeliling perkhidmatan, saya tidak sepatutnya menggunakan akaun media sosial bertujuan memburukkan mana-mana pihak.
“Saya akui kesilapan kerana membenarkan akaun dikongsi oleh pihak ketiga dan berjanji akan lebih bertanggungjawab selepas ini,” katanya
Penjawat awam tidak dibenarkan terbabit dalam aktiviti politik serta perlu mengekalkan kedudukan berkecuali dalam mana-mana parti.
Mereka tidak dibenarkan membuat kenyataan awam seperti menyebarkan maklumat palsu, berunsur fitnah, provokasi atau tidak disahkan kebenarannya, menerbitkan artikel atau menyebarkan maklumat secara lisan atau bertulis, termasuk dalam media sosial.
BACA JUGA Bedah siasat Zara Qairina telus, tiada ‘tangan ghaib’ dari mula sampai habis – Peguam