STR Fasa 3 akan dikreditkan ke akaun 8.6 juta rakyat Malaysia bermula esok
Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 akan dikreditkan ke akaun penerima mulai esok, sebagai langkah meringankan beban kos sara hidup isi rumah berpendapatan rendah, kata Kementerian Kewangan.
Seramai 8.6 juta rakyat akan menerima bayaran sehingga RM650 bagi fasa ketiga ini yang menelan belanja sebanyak RM2 bilion.
Menurut MOF, jumlah ini menyaksikan peningkatan seramai 300,000 daripada 8.3 juta penerima Fasa 1 pada Januari 2025.
“Peningkatan ini hasil daripada langkah Kerajaan MADANI membuka permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun bagi memastikan bantuan sampai kepada semua yang layak.
“Pembukaan permohonan dan rayuan sepanjang tahun menunjukkan Kerajaan MADANI tidak mengambil enteng amanah yang dipikul untuk meningkatkan maslahat rakyat terbanyak, agar tiada yang tercicir daripada mengecapi limpahan negara,” kata Perdana Menteri, Datul Seri Anwar Ibrahim.
Lebih daripada bantuan tunai semata-mata, STR memberi suntikan kepada penerima untuk mencapai kebebasan kewangan, agar semua pihak dapat menggapai kesaksamaan yang didambakan dalam Ekonomi MADANI.
Pembayaran STR Fasa 3 akan dibuat kepada penerima sedia ada dan penerima baharu yang berdaftar dalam pangkalan data STR melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan masing-masing.
Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan.
Soalan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan STR boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.
Orang awam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada terhadap pautan tidak sahih yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat mengenai STR.