Sakit hati baca kes bunuh pelajar tahfiz di Kelantan dikaitkan makhluk halus
Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Muhammad Rozaime Ramle tidak dapat menahan rasa sakit hati mendengar punca kematian seorang pelajar tahfiz di Kelantan yang didakwa kerana dirasuk makhluk halus.
Beliau merujuk kepada kes melibatkan pelajar bernama Wan Ahmad Faris, yang dikatakan dirasuk makhluk halus sehingga kononnya menggantung diri, namun kemudiannya tempat “crime scene” telah diroboh.
“Sakit hati bercampur simpati saya apabila membaca perincian kes bunuh pelajar tahfiz di Kelantan ini bernama Wan Ahmad Faris. Dikaitkan pelajar itu dirasuk makhluk halus, lalu kononnya menggantungkan dirinya sendiri.
“Yang peliknya, tidak lama setelah isu itu, kawasan jenazah ditemui yang terletak di bawah Yayasan Islam Kelantan itu tiba-tiba sahaja dirobohkan pula. Ajaib. Bagaimana ‘crime scene’ boleh dirobohkan dengan alasan mistik?” katanya.
Kes Ahmad Faris dibuka semula oleh bekas Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Marzuki selepas 12 tahun kes itu tidak mendapat pengadilan sewajarnya.
Ibu kepada pelajar itu pernah meluahkan rasa kecewa apabila siasatan pihak berkuasa terhadap kematian anaknya pada 12 Disember 2013 di Maahad Tahfiz Sains Kok Lanas, di Kelantan, masih belum membawa kepada penangkapan suspek atau penemuan motif pembunuhan.
Sementara itu Rozaime meminta pihak tertentu berhenti mengaitkan isu makhluk halus dalam kehidupan sehinggakan kes jenayah juga dialihkan kepada gangguan makhluk halus.
“Walhal ini kes pembunuhan. Kes jenayah. Jin tidak dapat memberi mudarat melainkan dengan izin Allah. Jangan semua perkara kita hendak salahkan jin.
“Ini sampai kes kematian nyawa seseorang pun masih hendak salahkan gangguan jin. Jangan terlalu taksub dengan benda-benda mistik,” ujarnya.
Beliau juga menegaskan supaya kes jenayah tidak dijadikan modal politik kepartian, apatah lagi membina istana di atas pusara orang yang dizalimi.
BACA JUGA AMANAH nasihat Pas teliti dulu dokumen RMK13 sebelum fitnah Bumiputera dipinggir