46,000 liter barang kawalan berjadual diesel diselamatkan, 4 ditahan – KPDN Selangor

FOTO BERITA: Hasil risikan selama sebulan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor dengan kerjasama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi membabitkan dua lokasi berasingan di Pelabuhan Klang dan Kampung Telok Gong. (Foto: KPDN Selangor)

Operasi yang dijalankan pada jam 7.00 malam itu melibatkan kekuatan 20 anggota – 10 dari KPDN Selangor dan 10 dari IPK Selangor – menyasarkan sebuah stesen minyak dan sebuah stor haram tanpa nombor. Kedua-dua lokasi dipercayai mempunyai kaitan dalam rantaian pengedaran barang kawalan berjadual diesel secara haram.

Taktik Lori Ubah Suai & Stor Haram di stesen minyak, pasukan penguat kuasa menemukan sebuah lori kanvas muatan tiga tan yang telah diubahsuai dengan dua tangki Intermediate Bulk Container (IBC) dan satu Steel Square Tank. Lori berkenaan dipercayai membeli diesel dari beberapa stesen minyak sebelum menghantar ke stor untuk dipindahkan ke dalam Skid Tank bagi tujuan jualan tidak sah.

Serbuan di stor haram pula menemui dua unit Skid Tank berisi diesel, selain peralatan untuk memindah masuk dan keluar bahan api.

4 Individu Ditahan, Diesel Bernilai RM100,000 Diselamatkan
Empat lelaki berusia antara 35 hingga 45 tahun – dua warganegara dan dua warga Indonesia serta Bangladesh – ditahan kerana dipercayai berperanan sebagai pemandu lori, kelindan dan penjaga premis.

Turut disita ialah sebuah lori, dua unit IBC berisi diesel, satu Steel Square Tank, empat Skid Tank serta anggaran 46,000 liter diesel bernilai subsidi RM100,000. Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan mencecah RM130,000.

Siasatan & amaran keras kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 termasuk Seksyen 20(1) dan Seksyen 21 kerana menyimpan dan memiliki barang kawalan di premis tidak berlesen, serta Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga tanpa lesen. Stesen minyak terlibat pula disiasat di bawah Peraturan 12A kerana melanggar arahan Pengawal Bekalan.

Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey, menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau syarikat yang terlibat. Jika sabit kesalahan, denda boleh mencecah RM1 juta bagi individu dan RM2 juta bagi syarikat, selain hukuman penjara sehingga tiga tahun.

Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat salah laku urus niaga diesel bersubsidi bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan tersebut..
