12 tahun ibu bapa Faris berjuang tidak akan berhenti

Oleh LIYANA MARZUKI

Makcik Ani dan Pakcik Man. Tahun ini 70 dan 80 tahun usia mereka. Ibu bapa arwah Faris, anak sulung, satu-satunya anak lelaki.

Pertama kali, saya jumpa mereka Februari lalu, di sebuah kampung terpencil di Pasir Mas.
Dengar cerita dan lihat dokumen, saya terkedu.

12 tahun, macam-macam rintangan yang mereka lalu. Berkali-kali Makcik Ani kata, “Makcik hanya orang kampung… tak terdaya, dah tua. Tapi untuk Faris, makcik nak berjuang sampai hujung nyawa.”

Kain pelikat

Semasa lihat mayat anaknya pertama kali, mereka dipaksa terima Faris bunuh diri. Naluri ibu menidakkan sama sekali.

Takkan lah! Dia baru saja hantar Faris ke sekolah hujung minggu sebelum itu, ceria belaka.

Mayat Wan Ahmad Faris yang merupakan pelajar Tingkatan Empat ketika itu ditemui mati tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman di Kok Lanas pada Disember 2013.

Di balai polis, makcik Ani bawa al-Quran. Suruh pegawai bersumpah, betulkah anaknya bunuh diri?

Polis hanya jawab:

“Jangan macam tu Cik Ani, saya hanya terima arahan.” Habis polis tu makcik Ani sumpahkan.

Dengan doktor post mortem, katanya Faris mati tergantung.

Bila ditanya, “Takkan dengan kain pelikat?”

Doktor diam.

“Buatlah kerja betul-betul. Jangan fitnah anak saya,” tegas Makcik Ani.

Dia hanya menoleh. Tak kata apa.

Tempat dirobohkan

Polis ketika cepat-cepat nak tutup kes. Barang bukti dibuang di tong sampah – selipar, cermin mata arwah.

Makcik Ani kutip sendiri. Berbulan kemudian baru polis cari balik.

Dua minggu lepas kematian, tempat kejadian dirobohkan.

Dia terfikir — kalau anak aku betul-betul dibunuh, macam mana dengan bukti? Sampai hati mereka buat anakku begini.”

Wan Abdul Rahman Wan Yaacob, 80, dan Ruhani Hussin, 70, menunjukkan gambar arwah anaknya, Wan Ahmad Faris.
Bukan bunuh diri

Sejak 2013, sang ibu dan ayah bergolok gadai. Naik turun pejabat kerajaan, pejabat YB.
Lantik peguam sendiri. Daftar kes ke Mahkamah Koroner lagi.

2016 — Mahkamah putuskan: Faris BUKAN bunuh diri, tetapi dibunuh oleh orang tidak dikenali. Maka betul firasat ibu tadi.

Selepas itu, keputusan Koroner dipegang bertahun-tahun.

Sejak 2016 mereka tulis surat ke satu ke satu Perdana Menteri. Januari tahun ini baru dapat keputusannya.

6 tahun had masa sudah terlepas jua.

Saman sivil

Perjuangan ini dibantu saudara dekat mereka, Che Ibrahim Mohamed & Ali Hanafiah Mohamed.
Hujung Januari kes mula tular.

Ramai rakan follower tag saya dan gesa saya bantu. Itulah mula trip pertama saya ke Pasir Mas, Februari lalu.

Sampailah kita failkan saman sivil ke atas PDRM dan Kerajaan Malaysia minggu lalu.

Semangat juang ibu

Hati saya dekat dengan makcik Ani. Sebaya arwah mak mertua saya. Wajah mereka sama. Ada rahsia Tuhan nakkan saya menolong dia.

Saya tak tahu lagi apa dia. Bila ada yang kata dia kurang berjuang, saya terasa. Saya saksi kuatnya semangat juang ibu ini. 12 tahun tanpa berhenti.

Cuma kes anaknya tak seheboh mana. Takde take up dan political angle. Dah lama pula. Mungkin fikir jalan sudah tidak ada.

Tapi makcik Ani tak putus asa. Seperti yang dia kata. Dia akan berjuang hingga hujung nyawa.

Tidak kenal erti kecundang

Setiap orang perjuangannya berbeza:

📢 Ada yang melaung di media sosial.
⚖️ Ada yang ambil tindakan di mahkamah.
🤝 Ada yang nasihat dan buka jalan dalam diam.
💰 Ada yang menyumbang dana perang.

Setiap orang itu ada sahamnya. Rakan-rakan pengikut selalu ingatkan saya. Niatkan bukan untuk kita. Untuk Allah dan mangsa. Terima kasih semua.

Kita percaya keadilan tidak bergerak sebab seorang. Selalunya ia hidup melalui gerakan massa dan waris yang tidak kenal erti kecundang.

Mari kita rakyat Malaysia berdiri di belakang makcik Ani kerana kita yakin keadilan masih boleh tertegak di bumi Malaysia ini. Tambah-tambah untuk yang dizalimi.

BACA JUGA Berhutang RM61 juta dengan TNB, syarikat air Kelantan masih bermewahan