Pegawai kanan ATM ‘duri dalam daging’, disyaki jadi dalang penyeludupan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya melumpuhkan satu sindiket penyeludupan di selatan tanah air yang disyaki didalangi lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut laporan media, pegawai-pegawai kanan tersebut ditugaskan untuk memantau dan mengekang aktiviti-aktiviti penyeludupan di selatan tanah air, tetapi mereka dipercayai bersekongkol bersama sindiket penyeludupan tersebut sejak lima tahun lalu.

Mereka juga disyaki telah mengumpulkan hasil rasuah sebanyak lebih RM3 juta.

Lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam berusia lingkungan 30 sehingga 55 tahun itu ditangkap di sekitar Lembah Klang bagi membantu siasatan.

Barang seludup yang dibawa masuk ke negara ini difahamkan terdiri daripada dadah, rokok, dan barang-barang lain dari negara-negara jiran, dan membabitkan nilai barangan yang diseludup sebanyak RM5 juta sebulan.

Melalui intipan yang dijalankan selama 12 bulan, bayaran rasuah yang diberikan kepada pegawai-pegawai kanan tentera itu dipercayai berjumlah di antara RM30,000 sehingga RM50,000 bagi setiap kali aktiviti penyeludupan dijalankan oleh sindiket.

Sejumlah wang tunai bernilai lebih RM63,200 beberapa bungkusan dipercayai dadah, alat penimbang dan penyukat, minuman keras, dan senjata tiruan turut ditemukan di premis-premis serbuan dan disita.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Opetasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, mengesahkan tangkapan tersebut.

Kes katanya disiasat di bawah seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Beliau menegaskan bahawa tindakan ini wajar diambil serius oleh semua pihak kerana ianya melibatkan penyeludupan yang berupaya menjejaskan keselamatan negara.

BACA JUGA Kes kematian Zara Qairina: Peguam Negara arah tentukan sama ada terdapat unsur jenayah