Ibu kota ASEAN tubuh sekretariat di Jakarta, perkukuh pelaksanaan wawasan ASEAN 2045

FOTO BERITA: Sidang Media Meeting of Governors and Mayors of ASEAN Capitals (MGMAC) 2025 bersama YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Ms. Angela Lei Atenza Valdepenas, Timbalan Datuk Bandar Manila sekalu wakil tuan rumah persidangan ASEAN 2026 di Hall 3, Level GKL Convention Centre, Kuala Lumpur. 13hb Ogos 2025 (Rabu)

Mesyuarat Ke-11 The Governors and Mayors of ASEAN Capitals (MGMAC) yang berlangsung di ibu negara hari ini mencapai kata sepakat untuk menubuhkan sebuah sekretariat tetap di Jakarta, Indonesia, bagi memperkukuh kerjasama dan memantapkan pelaksanaan Wawasan ASEAN 2045.

Mesyuarat bersejarah itu dipengerusikan oleh Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur merangkap Pengerusi MGMAC 2025, dengan penyertaan semua 10 ibu kota negara anggota ASEAN serta wakil pemerhati dari Dili, Timor Leste.

“Bandar-bandar utama memainkan peranan kritikal dalam membantu kerajaan nasional melaksanakan dasar serantau dan negara. Saya berbesar hati kerana cadangan daripada Jakarta, Malaysia dan Singapura untuk menubuhkan sekretariat telah dipersetujui. Ia akan membantu memantau komitmen yang dibuat serta mempersiapkan pertemuan masa hadapan,” kata Maimunah.

Dalam mesyuarat itu, para pemimpin bandar menandatangani Kenyataan Bersama MGMAC 2025 yang merangkumi enam komitmen utama iaitu memperkukuh Mekanisme Kerjasama Dipacu Bandar melalui penubuhan Rangkaian Bandar MGMAC untuk perkongsian ilmu dan pelaporan kemajuan SDG serta New Urban Agenda melalui kajian tempatan sukarela (Voluntary Local Review).

Menggerakkan Keutamaan Tempatan Selaras Tiang Wawasan ASEAN 2045 dengan melantik City Focal Points yang akan bekerjasama dengan Kuala Lumpur dan UCLG ASPAC bagi memantau pelaksanaan aktiviti bersama yang telah dipersetujui dan mengamalkan dan Menyokong Pelaksanaan New Urban Agenda & Matlamat Global, khususnya inisiatif Sisa Sifar (Zero Waste) dan tindakan iklim, termasuk penyertaan dalam UN-Habitat Waste Wise Cities.

Melaksanakan Matlamat Iklim di Peringkat Tempatan dengan mengukuhkan komponen bandar dalam Nationally-Determined Contributions (NDC) 3.0, selaras kerangka COP28 di Dubai pada 2023, menggalakkan Pelaburan Peringkat Tempatan daripada institusi antarabangsa seperti PBB, Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia, termasuk projek mitigasi dan adaptasi iklim dan Memperkasa Kerjasama dengan Sektor Swasta dan Komuniti Tempatan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan New Urban Agenda melalui projek perintis di peringkat bandar.

Maimunah turut menegaskan bahawa ibu kota ASEAN bersetuju mengamalkan pendekatan bertema untuk membantu antara satu sama lain dalam bidang seperti Sisa Sifar serta adaptasi dan mitigasi perubahan iklim. Beliau turut mengalu-alukan sokongan semua pihak terhadap cadangan Malaysia untuk menganjurkan Town Hall COP bagi mengumpul pandangan rakyat rantau ini yang akan dibawa ke COP di Belem, Brazil pada November 2025.

“Tindakan di peringkat tempatan perlu diambil kira apabila negara anggota menilai semula NDC masing-masing. Tanpa sumber mencukupi, dasar iklim sukar dilaksanakan di lapangan,” tegasnya. Mesyuarat MGMAC seterusnya akan berlangsung di Manila, Filipina tahun hadapan apabila negara itu mengambil alih kerusi pengerusi ASEAN.