Bukti tekad Malaysia pimpin era digital – Dasar Pengkomputeran Awan Kebangsaan (NCCP)
A Zahid
Dalam era di mana data menjadi “minyak baharu” dan kelajuan teknologi menentukan daya saing, langkah Kerajaan Madani melancarkan Dasar Pengkomputeran Awan Kebangsaan (NCCP) adalah isyarat jelas bahawa Malaysia tidak mahu ketinggalan dalam perlumbaan digital.
Melalui Kementerian Digital, dasar ini bukan sekadar dokumen polisi, tetapi pelan tindakan konkrit untuk memacu negara ke arah masa depan yang lebih selamat, berdaulat, inklusif, dan mampan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo, menegaskan bahawa “Hari ini menandakan satu lagi pencapaian besar dalam perjalanan digital Malaysia menerusi pelancaran rasmi NCCP, rangka tindakan strategik yang akan memandu negara ke arah masa depan awan yang selamat, berdaulat, inklusif dan mampan.”
Di sektor awam, penerimagunaan teknologi awan akan menjadi mandat merentasi semua agensi kerajaan.
Ini bermakna urusan pentadbiran dan perkhidmatan awam bakal menjadi lebih pantas, efisien, dan mesra pengguna. Tiada lagi alasan “sistem tergendala” atau “fail hilang” apabila semua disandarkan kepada infrastruktur awan yang selamat.
Dalam sektor swasta pula, NCCP membuka ruang inovasi lebih luas, memudahkan perusahaan rintis, syarikat teknologi, dan industri kreatif memanfaatkan teknologi untuk menembusi pasaran global.
Yang lebih penting, dasar ini meletakkan rakyat di pusat perubahan. Dengan akses inklusif kepada perkhidmatan digital, jurang digital antara bandar dan luar bandar dapat dirapatkan.
Perlindungan data peribadi juga diperkukuh, memberi keyakinan kepada pengguna untuk menggunakan perkhidmatan dalam talian tanpa takut dicerobohi.
NCCP mengamalkan pendekatan whole-of-nation, yang bermaksud semua pihak sama ada kerajaan, sektor swasta, akademia, malah komuniti akar umbi akan mempunyai peranan dalam menjayakannya.
Ini adalah model kerjasama yang terbukti berjaya di negara-negara maju.
Jika dilaksanakan dengan konsisten, dasar ini bukan sahaja menjadikan Malaysia hab awan serantau menjelang 2030, tetapi juga membentuk ekosistem digital yang berdaya tahan.