Zara telah menyatukan kita
OLEH: NURUL IZZAH ANWAR
Dua minggu lepas, saya terbang ke Kota Kinabalu dari Kuala Lumpur untuk bertemu ibu Zara. Walau bagaimanapun, pada waktu itu ibu Zara masih belum bersedia untuk berjumpa.
Saya tidak memaksa, tetapi syukur hari ini saya diberi ruang untuk menyampaikan takziah kepadanya secara bersemuka.
Ibu mana yang tidak sedih melihat anaknya pergi tak kembali. Sebagai seorang ibu, saya benar-benar merasa kesedihan yang ditanggung oleh ibu kepada adik Zara. Dia hanya mahu melihat Zara membesar seperti biasa, sihat, dan ceria.
Zara seperti anak kita semua. Peribadinya sopan, akhlaknya mulia, dan merupakan seorang yang berpegang teguh pada ajaran agama. Pemergian Zara telah menyatukan kita semua merentasi sempadan dan perbezaan.
Saya tidak akan berhenti memperjuangkan sehingga orang yang bertanggungjawab menerima hukuman yang setimpal serta persekitaran yang selamat untuk anak-anak kita.
Kita akan terus mengikuti dan memantau dengan rapat perkembangan terkini menerusi pengumuman Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail & Jabatan Peguam Negara – kerana setiap anak berhak untuk membesar dalam persekitaran yang selamat, bebas daripada ketakutan dan ancaman.
Ini adalah tanggungjawab kita bersama untuk terus cakna, melindungi, dan memastikan tragedi seperti ini tidak berulang lagi.
Teruskan berdoa, usaha, dan tawakal – agar keadilan dan kebenaran ditegakkan, dan roh anakanda Zara ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Amin
NURUL IZZAH ANWAR ialah timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat.