Isu Jalur Gemilang: KPN nasihat tidak sertai himpunan di Kepala Batas
Ketua Polis Negara menasihatkan semua pihak agar tidak terlibat dalam himpunan yang akan diadakan di Bertam, Kepala Batas hari ini demi memastikan keselamatan masyarakat setempat serta mengelakkan sebarang pertembungan tidak sihat.
Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya memandang serius setiap isu yang berpotensi menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Susulan itu, pihak polis telah menjalankan siasatan berkaitan isu pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik yang tular di media sosial.
“Sebanyak 38 laporan telah diterima di seluruh negara melibatkan 17 di Pulau Pinang dan 21 di negeri-negeri lain.
“Siasatan ini merangkumi tindakan terhadap individu yang merakam dan menyebarkan rakaman tersebut di bawah peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.
Beliau berkata, kertas siasatan telah dikemukakan kepada pejabat pendakwa raya, Pulau Pinang pada 11 Ogos dan kini sedang dalam penelitian pihak berkenaan.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan, sebaliknya terus menyalurkan maklumat yang sahih kepada pihak polis.
BACA JUGA Pembangkang paling ‘hodoh, tak reti bahasa’ sepanjang penggal ini