‘Kalau saya buat keputusan gantung 6 bulan tak cukup’
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor menegaskan keputusan menggantung Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim selama enam bulan jika dibuat masih tidak mencukupi.
Beliau berkata demikian hari ini ketika memaklumkan keputusan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berhubung dakwaan Awang mencabar Ahli Parlimen lain bertumbuk di luar Parlimen yang akan diketahui pada 18 Ogos ini.
“Saya akan menyokong sekuat-kuatnya. Kalau saya buat keputusan, (gantung) enam bulan tidak cukup.
“Saya ikuti (persidangan Dewan) walaupun semalam kurang sihat, saya ikuti secara atas talian apa yang berlaku dalam Dewan ini,” kata beliau.
Ramli berkata demikian selepas Chong Zhemin (PH-Kampar) membangkitkan kekecohan antara Awang dan RSN Rayer (PH-Jelutong) dalam persidangan semalam.
“Semalam, sebelum keluar dewan, Pendang mencabar Jelutong untuk bertumbuk dengan menunjukkan buku lima. Ini jelas. Video telah tular di media sosial,” kata Chong.
Susulan itu, Ramli mengingatkan ahli Dewan supaya melaksanakan amanah daripada rakyat dengan sebaik-baiknya.
“Nampak gaya saya kena sekolahkan… Buka Peraturan 35, 36. Senang saja. Kita marah anak kita tak mahu belajar, saya terpaksa jadi bapak di sini sekarang,” kata beliau lagi.
Aksi Awang mencabar untuk bertumbuk dan berjalan ke arah RSN Rayer tular di media sosial dengan rata-rata mengecam perbuatan wakil rakyat Pas itu yang bersifat samseng dan membuli.
BACA JUGA PN tuntut projek LRT, MRT di Langkawi