Cabaran berakhir demonstrasi besar-besaran di Indonesia
Cabaran seorang pemimpin di daerah (kabupaten) Pati di Jawa Tengah, Indonesia mengundang demonstrasi penduduk besar-besaran semalam.
Bupati Pati, Sudewo menuai kemarahan rakyat tempatan apabila menaikkan Cukai Tanah dan Bangunan Desa dan Bandar (PBB-P2) hingga mencecah 250 peratus.

Namun, bukannya meredakan ketegangan, Bupati Sudewo dari Parti Gerindra yang memegang jawatan itu sejak 20 Februari lalu sebaliknya berkata:
“Silakan lakukan (protes). Jangan hanya 5,000 orang. 50,000 orang orang suruh kerahkan. Saya tidak akan gentar.”
Kenyataan bekas anggota Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia berkenaan disifatkan sebagai angkuh sekaligus membakar kemarahan orang ramai.
Dianggarkan jumlah peserta unjuk rasa itu seramai lebih 100,000 orang, kata Koordinator Ahmad Husein, dipetik Tribun Jateng.
Sementara itu, Liputan6.com melaporkan lebih 50,000 peserta terlibat berhimpun untuk memaksa Bupati Sudewo meletakkan jawatan.
Susulan rasa tidak puas hati rakyat, Sudewo kemudian memohon maaf dan menyatakan bahawa dia “tidak berniat mencabar rakyat”.
Walau bagaimanapun, kenyataan Sudewo, 57, yang mempunyai latar belakang bidang kejuruteraan awam dan pembangunan itu sudah tular dan sukar dilupakan.
Mengulas protes besar-besaran mendesak Bupati Pati Sudewo meletakkan jawatan itu, ahli akademik berpendapat reaksi massa tersebut diyakini berlaku secara semula jadi tanpa campur tangan elit.
“Aksi itu benar-benar mencerminkan gerakan akar umbi, mustahil ada elit yang menggerakkan rakyat dengan cara seperti ini,” kata pakar autonomi daerah, Prof Djohermansyah Djohan kepada Kompas.com.
Beliau berpendapat bahawa ciri-ciri aksi massa yang lazim dalam gerakan akar umbi dapat dilihat melalui protes spontan yang tercetus sebagai reaksi terhadap isu awam, iaitu kenaikan cukai sebanyak 250 peratus yang akhirnya dibatalkan oleh Sudewo.
“Sifatnya sukarela, spontan, dan dalam tempoh singkat untuk bertindak balas, penduduk mengumpulkan sokongan melalui sumbangan bahan makanan, malah ada yang menyumbang hasil tanaman,” ujar Djohermansyah.
BACA JUGA Jabatan Peguam Negara jawab kes saman Waytha Moorthy Ponnusamy terhadap PMX