Saman Waytha tiada kaitan dengan PN? Syahredzan tempelak Takiyuddin

Syahredzan Johan (PH-Bangi) menempelak penafian Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa Perikatan Nasional tidak ada kaitan dengan saman pemula yang difailkan pengasas parti Malaysian Advancement Party, P Waytha Moorthy.

Waythamoorthy telah memfailkan saman mencabar keabsahan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ahli parlimen.

Syahredzan telah menyoal rasional di sebalik kehadiran Takiyuddin di dalam sidang akhbar yang dibuat oleh Waytha Moorthy berhubung saman tersebut.

“Takiyuddin sendiri telah berucap dalam sidang media tersebut untuk menjelaskan mengapa tindakan undang-undang tersebut diambil,” kata Syahredzan dalam satu kenyataan menerusi media sosial.

“Di kalangan kami yang memahami perlu ambil tindakan. Kita pun bukan buat keputusan sendiri, kita minta daripada Mahkamah yang mempunyai jurisdiction untuk buat satu declaration”, kata Takiyuddin.

“Siapa yang dimaksudkan oleh YB Takiyuddin sebagai ‘kita’ ini? Sudah tentu beliau sendiri, bersama-sama dengan Waytha Moorthy.”

Syahredzan menegaskan tindakan sama Waythamoorthy mendapat sokongan PN dan Pas

“Takiyuddin dalam sidang media itu jelas menyatakan bahawa beliau menyokong penuh tindakan yang diambil oleh Waytha Moorthy.

“Takiyuddin ini bukan rakyat biasa. Bukan pemimpin politik barisan kedua atau ketiga. Takiyuddin Ketua Whip PN. Setiausaha Agung PAS.

“Apa alasan beliau hadir, duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan Waytha Moorthy, yang dahulu yang dahulunya dilabel oleh orang PAS sendiri sebagai ‘pejuang ICERD’?

“Apa sebab beliau kata ‘kita harus ambil tindakan’ dan ‘menyokong’ tindakan saman pemula Waytha Moorthy?”

Syahredzan merumuskan bahawa tindakan saman ini ialah satu lagi percubaan untuk menjatuhkan kerajaan selepas cubaan tebuk atap sebelum ini gagal.

“Terang lagi bersuluh. Ini bukan tindakan Waytha Moorthy berseorang. Ini satu lagi percubaan untuk menumbangkan krajaan ini, kali ini melalui tindakan mahkamah, oleh gerombolan yang mahu kerajaan kita terjerumus dalam kancah ketidakstabilan politik semula.

“Mereka pernah cuba pelbagai langkah dan komplot melalui sokongan Ahli Parlimen. Gagal. Mereka pernah cuba melalui himpunan jalanan. Gagal.

“Mereka kini cuba melalui prosiding undang-undang. Saman difailkan selepas Waytha merapatkan diri dengan PN. Suratan atau kebetulan?”

BACA JUGA: Pelik, masa sidang media ada bersama, tiba-tiba Pas kata tiada kaitan dengan Waytha Moorthy