Selepas akui keluarga diugut, ini pendirian Rafizi
Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli akan terus bekerja dan memperjuangkan kerjaya politiknya meskipun terdapat pihak mencadangkan supaya berehat sebentar daripada dunia politik.
Beliau berkata, walaupun keluarganya menerima ugutan, namun hidup dan tanggungjawabnya perlu diteruskan.
“Saya bukanlah tidak ada hati perut pentingkan politik dalam keadaan sekarang, tetapi matlamat ugutan terhadap keluarga dibuat supaya saya putus asa dan duduk diam.
“Kalau saya tidak meneruskan rutin dan tanggungjawab seperti biasa, maka tercapailah matlamat mereka itu,” tegas bekas Menteri Ekonomi itu.
Dalam masa sama, Rafizi memberitahu beliau akan mengulas mengenai serangan terhadap ahli keluarganya itu dalam audio siar YBM malam ini bersama Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail dan aktivis pendidikan Victor Tan.
“Antara isu yang akan diulas termasuklah kejadian serangan terhadap keluarga saya, ancaman budaya buli dan sebagainya,” kata Rafizi lagi.
Terdahulu, Rafizi memaklumkan dua lelaki berpakaian hitam dan bertopi keledar menyerang anak lelakinya di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Ahli Parlimen Pandan berkenaan mendakwa seorang lelaki mengheret anaknya yang berusia 12 tahun dan mencucuk dengan jarum suntikan secara tiba-tiba ketika mahu memasuki kereta untuk meninggalkan pusat beli-belah itu pada 1.45 tengah hari.
BACA JUGA Serangan ke atas anak Rafizi: Nurul Izzah gesa pihak berkuasa bertindak