Helang Putih Maskot Rasmi SUKMA Selangor 2026.

FOTO BERITA: Majlis Pelancaran Logo, Maskot, Tema & 1 Year Countdown SUKMA XXII dan PARA SUKMA Selangor 2026 oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari Menteri Besar Selangor. Turut hadir YB Tuan Mohd Najwan Halimi, EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan Merangkap Pengerusi SUKMA XXII & Para SUKMA Selangor 2026 di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia & Kebudayaan Negeri, Shah Alam Selangor. 15hb Ogos 2025 (Jumaat)

SHAH ALAM, 15 Ogos – Helang putih yang melambangkan kekuatan, keberanian dan semangat juang tinggi dipilih sebagai maskot rasmi Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang bakal berlangsung di Selangor dari 15 hingga 24 Ogos tahun depan. Maskot tersebut pernah menjadi ikon negeri ketika Selangor menjadi tuan rumah SUKMA 1998, dan kini dihidupkan semula bagi menyuntik semangat baharu kepada temasya sukan terbesar negara itu.

Pelancaran Helang Putih disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari dalam majlis gilang-gemilang di Dewan Raja Muda Musa di sini, malam ini. Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, helang putih mencerminkan keberanian, kepantasan dan ketangkasan — nilai yang diharap dapat diserap oleh setiap atlet yang akan beraksi pada SUKMA kali ini. “Kita mahu temasya kali ini bukan sahaja mencatat kemenangan dari segi kutipan pingat, tetapi juga mencipta impak besar dalam pembangunan industri sukan negeri dan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Logo, Maskot, Tema dan Kiraan Detik Setahun di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, di sini, malam tadi.

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) bersetuju menambah tiga sukan pilihan bagi Temasya SUKMA XXII Selangor 2026, sekali gus menjadikan keseluruhan 37 acara dipertandingkan. Keputusan itu dicapai secara kolektif dalam mesyuarat yang dihadiri Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh; Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, YB Dato’ Seri Abdul Karim Rahman Hamzah; Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Dato’ Sri (Dr) Mohamad Norza Zakaria; Exco Sukan Negeri; serta Pengerusi Majlis Sukan Negeri seluruh negara.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA XXII 2026, YB Mohd Najwan Halimi, telah mengemukakan cadangan menambah Muaythai, Petanque dan Silambam sebagai sukan pilihan, yang kemudian dipersetujui sebulat suara.

Dengan penambahan itu, SUKMA Selangor 2026 akan mempertandingkan 30 sukan wajib dan tujuh sukan pilihan. Jawatankuasa Tertinggi turut memutuskan bahawa tiada lagi cadangan atau rayuan penambahan sukan akan dipertimbangkan selepas ini. Temasya SUKMA XXII dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 di sembilan daerah seluruh Selangor, yang dijangka menjadi medan persaingan sengit atlet dari seluruh negara.

Edisi kali ini akan mempertandingkan 30 sukan wajib dan tujuh sukan pilihan, menjanjikan persaingan sengit serta aksi mengujakan dari atlet seluruh negara. Turut dilancarkan logo rasmi SUKMA Selangor 2026 yang berbentuk obor bersama angka romawi XXII, melambangkan kembalinya Selangor sebagai tuan rumah edisi ke-22. Temasya ini membawa tema “Rentak Kita, Aksi Kita” yang mencerminkan kesepaduan rentak semangat dan aksi atlet seluruh negara.

Pada majlis sama, plakad logo diserahkan kepada tiga rakan penaja rasmi: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) [MBI], Koridor Utiliti Selangor (KUSEL) dan Broadcast Production & Sales APAC (BPSA). Petronas Litar Antarabangsa Sepang (Petronas SIC) pula diumumkan sebagai rakan kerjasama strategik dan bakal menjadi lokasi majlis pembukaan rasmi kejohanan. Semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor bersama agensi kerajaan dan swasta turut dilantik sebagai rakan kerjasama prasarana.

Tema “Rentak Kita, Aksi Kita” dipilih bagi menyatukan semangat perpaduan, aksi dan tenaga rakyat serta atlet dalam menjayakan penganjuran SUKMA dan PARA SUKMA 2026.