Dah tiga tahun Anwar jadi PM tapi PN masih sibuk tunggang isu keabsahan

Perikatan Nasional (PN) masih sibuk menunggang isu keabsahan Perdana Menteri walaupun sudah tiga tahun Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui Kerajaan Madani.

Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil berkata, saman mencabar keabsahan Anwar sebagai Ahli Parlimen dan Perdana Menteri membuktikan PN dan pembangkang tiada sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

“Didorong kegagalan mendapat sokongan majoriti ini menyebabkan mereka menyokong pemfailan saman tersebut,” tegasnya menerusi kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan kenyataan Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid Ali dan Pengerusi Penaja Urimai, Dr. P. Ramasamy hari ini berkaitan saman tersebut kononnya adalah tindakan sah kerana dibuat melalui proses mahkamah hanyalah alasan remeh.

“Jangan lupa kepada istilah salah guna proses mahkamah (abuse of the process of court) kerana saman tersebut difailkan setelah tiga tahun pilihan raya umum berlalu,” katanya.

Rafique Rashid Ali

Faiz menegaskan bahawa usia kerajaan Madani yang dibentuk melalui pelantikan Anwar Ibrahim sebagai PM juga sudah menjangkau tiga tahun, tetapi masih mengungkit tentang kesahihannya.

“Sungguhpun prinsip undang-undang sudah jelas bahawa pelantikan PM adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Oleh sebab itu, jelas peguam berkenaan, tindakan saman tersebut merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

“Pembangkang seolah-olah tiada idea positif untuk menjadi pembangkang yang matang dan konstruktif.

“Ketika PH menjadi pembangkang, PH mampu menyediakan belanjawan bayangan dan melontarkan pelbagai idea dan formula penyelesaian isu ekonomi dan rakyat, tetapi PN kini gagal berbuat demikian,” tegasnya.

Tambah beliau lagi, PN juga melakukan tindakan yang regresif dan ibarat sebuah tin kosong apabila berterusan sibuk mengungkit keabsahan PM ketika kerajaan sedang membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

BACA JUGA Pantun Presiden Pas sesuai dituju kepada MB di negeri SG4